Saints lebur permulaan tanpa kalah Everton

LONDON, 26 OKT – Jurulatih Everton, Carlo Ancelotti menyelar pengadil perlawanan Kevin Friend semalam apabila membuat keputusan ‘kelakar’ dengan melayangkan kad merah kepada Lucas Digne, sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah pendahulu liga itu berakhir selepas tewas 0-2 kepada Southampton manakala Leicester melonjak ke tangga keempat selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Arsenal.

Everton sebelum ini telah meraih lapan kemenangan tanpa kalah musim ini namun mereka terpaksa menerima hukuman hasil daripada persembahan tidak bertenaga yang dipamerkan di Stadium St Mary.

Pasukan Ancelotti ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama menerusi jaringan oleh James Ward-Prowse dan Che Adams.

Pemain pertahanan kiri Everton, Digne diarahkan keluar padang kerana melakukan kekasaran berbahaya terhadap Kyle Walker-Peters pada separuh masa kedua meskipun mendakwa dia terpijak tanpa sengaja kaki Kyle Walker-Peters pada minit ke-72.

“Kad merah itu satu jenaka. Ia tidak disengajakan dan sudah pasti ia bukan satu keganasan. Mungkin hanya perlu kad kuning,” kata Ancelotti.

Reaksi Lucas Digne (tengah) dari Everton, ketika dilayangkan kad merah oleh pengadil setelah melakukan kekasaran terhadap Kyle Walker-Peters semasa perlawanan antara Southampton dan Everton di Stadium St. Mary, Southampton, semalam. – AP

“Ia bukan satu keputusan yang tepat dan itu tidak adil. Kami akan merayu, itu sudah pasti.”

Everton beraksi tanpa Richarlison yang digantung perlawanan dan kecederaan yang dialami Seamus Coleman serta keputusan seri ketika bertemu Liverpool. Everton dilihat tidak bersemangat dan kualiti yang dipamerkan rendah berbanding ketika di awal kempen.

Mereka kekal selaku pendahulu liga di atas juara Liverpool dengan perbezaan jaringan namun Ancelotti mengakui “Kami tidak bermain dengan baik, Southampton lebih baik daripada kami dan mereka layak untuk menang. Saya memberi tahu pemain musim sejuk akan tiba, kami perlu bangkit.”

Southampton hanya kalah dua kali dalam 13 perlawanan liga mereka dan naik ke tangga keenam liga.

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford sebelum ini melakukan kekasaran berbahaya terhadap Virgil van Dijk mengakibatkan pemain pertahanan Liverpool itu dengan kecederaan lutut yang serius. – AFP