Sainz diramalkan pindah ke Ferrari

PARIS, 13 MEI – Max Verstappen semalam menjangka bahawa Carlos Sainz (gambar bawah) akan menggantikan Sebastian Vettel di Ferrari selepas beliau berkata beliau tidak memikirkan Daniel Ricciardo akan berpindah ke pasukan Formula Satu Itali pada musim akan datang.

Ricciardo dan pelumba Sepanyol Sainz adalah calon pilihan untuk berpindah ke ‘Scuderia’ berikutan pengumuman Vettel semalam bahawa beliau akan meninggalkan pasukan itu pada akhir kempen 2020.

Ricciardo kelahiran Australia itu bakal mengakhiri kontrak dua tahun dengan Renault.

Ditanya oleh bekas pelumba F1 David Coulthard sama ada tempat itu akan diberikan kepada nama Itali atau nama Sepanyol, dalam rujukan kepada Ricciardo dan pemandu Mclaren Sainz, Verstappen berkata: “Saya fikir ia bukan nama Itali.”

“Lihatlah. Pada akhirnya, ia hanya satu tekaan. Kami perlu menunggu dan lihat,” tambahnya semasa sesi soal jawab di Instagram.

Ricciardo, 30, telah memenangi tujuh Grand Prix sepanjang kerjaya F1, sementara Sainz, 25 tahun, masih belum memenangi sebarang perlumbaan.

Verstappen juga mengetepikan dirinya akan berpindah ke Ferrari, berkata beliau ‘pastinya’ tidak akan meninggalkan Red Bull pada akhir musim di mana permulaannya telah ditangguhkan sehingga Julai disebabkan koronavirus.

“Saya berada di Red Bull. Saya ditanya sama ada saya akan pergi ke Ferrari, jawapannya adalah tidak,” katanya. – AFP