Sairol di tempat ketiga pemain tertua di ASEAN

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Pemain pertahanan Negara Brunei Darussalam, Sairol Sahari telah dinobatkan sebagai pemain tertua ketiga di zon ASEAN dalam penampilan di Kelayakan Piala Dunia FIFA 2020 untuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), menurut theaseanfootball baru-baru ini.

Senarai itu merangkumi 10 pemain tertua teratas yang mewakili persatuan anggota yang bergabung dengan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) semasa kelayakan Piala Dunia termasuk pusingan kelayakan pertama dan kedua.

Sairol dilantik sebagai ketua pasukan kebangsaan dan tampil mewakili pasukan Tabuan di kedua-dua pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Mongolia pada usia 37 tahun.

Pemain pertahanan Kasuka itu kembali ke pasukan kebangsaan untuk pertama kalinya dalam lima tahun, sebelum dipanggil kembali ke skuad antarabangasa sebulan sebelumnya oleh jurulatih kebangsaan ketika itu, Robbie Servais.

Dia mempunyai beberapa siri penampilan untuk pasukan kebangsaan terutamanya dalam pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF pada tahun 2008, 2012 dan 2014.

Sairol Sahari (kanan) telah dinobatkan sebagai pemain tertua ketiga di zon ASEAN dalam penampilan di Kelayakan Piala Dunia FIFA 2020.

Empat pemain Indonesia telah dimasukkan ke dalam senarai lima teratas pemain tertua, dua pemain masing-masing dari Filipina dan Singapura serta satu dari Thailand.

Majoriti pemain dalam senarai adalah pemain pertahanan dengan lima daripadanya terdiri dari tiga penjaga gol, satu pemain tengah dan satu pemain pertahanan.

Penyerang Indonesia, Beto Goncalves mendahului senarai sebagai pemain tertua di zon ASEAN mewakili pasukan kebangsaannya Merah Putih pada usia 38 ketika kekalahan 2-3 ke atas Malaysia.

Rakan sepasukannya Wawan Hendrawan sebagai pemain tertua kedua dan penjaga gol tertua dalam senarai.

Indonesia juga menurunkan pemain pertahanan tertua di pusingan kelayakan iaitu Yustinus Pae dan Otavio masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Pemain pertahanan dari Singapura, Baihakki Khaizan menduduki tempat keenam ketika mewakili pasukan kebangsaan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan menentang Yaman pada September lalu.

Pemain pertahanan Filipina, Alvaro Silva berada di tempat ketujuh dengan penjaga gol berpengalaman Singapura, Hassan Sunny di tempat kelapan.

Penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen berada di kedudukan kesembilan sementara pemain tengah Filipina, Angel Guirado, berada di kedudukan 10 teratas.

Theaseanfootball mengumpulkan statistik pemain dan pasukan yang berkaitan dengan ASEAN termasuk pemain termuda yang tampil dalam kelayakan Piala Dunia dan penampilan sepanjang masa untuk pasukan-pasukan AFF di Piala Asia AFC serta keputusan terkini daripada kejohanan di Asia Tenggara.