Saji bufet, pengurangan caj swab antara yang terbaharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan mengenai tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang akan bermula pada hari Isnin, 17 Ogos ini.

Dalam pada itu, harga bayaran caj ujian swab RT-PCR COVID-19 dikenakan kepada warga asing yang diberikan kebenaran khas untuk masuk ke negara ini iaitu daripada $1,000 dikurangkan kepada $350 bermula 14 Ogos (esok).

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, antara tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang bermula Isnin ini ialah menaikkan tahap arked dan taman permainan kanak-kanak (dalam dan luar) dari tahap pertama ke tahap kedua, menaikkan dari tahap kedua ke tahap ketiga bagi aktiviti-aktiviti kolam renang, panggung wayang, pusat kegiatan warga emas, dan perkumpulan ramai.

Selain itu juga, mengekal-kan aktiviti kafe Internet di tahap ketiga, menaikkan dari tahap ketiga ke tahap keempat bagi aktiviti-aktiviti kelas berkeperluan khas, pusat penjagaan kanak-kanak, muzium, galeri dan perpustakaan dan mengekalkan aktiviti-aktiviti berikut di tahap keempat iaitu masjid, surau dan balai-balai ibadat, tempat-tempat ibadat selain masjid dan surau, sekolah, pendidikan teknikal, vokasional dan tinggi, sekolah tuisyen dan sekolah muzik, sekolah memandu, gim dan pusat kecerdasan, kemudahan sukan (dalam dan luar), golf, restoran, kafe dan medan selera, serta gerai dan pasar. Sementara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham juga menjelaskan mengenai syarat-syarat pengurangan langkah-langkah sosial bagi aktiviti-aktiviti tertentu.

“Bermula 17 Ogos 2020, perkumpulan ramai adalah dibenarkan dengan keramaian tidak melebihi 200 orang sahaja. Orang ramai boleh merujuk kepada syarat-syarat terperinci di dalam Garis Panduan bagi Perkumpulan Ramai Tahap 3 yang akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan.

“Arked dan taman permainan kanak-kanak akan dibenarkan beroperasi pada kadar 60 peratus dari kapasiti biasa pada satu-satu masa. Garis Panduan bagi Arked dan Taman Permainan Kanak-kanak Tahap 2 akan dimuat naik ke laman web Kementerian Kesihatan,” jelasnya lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan. Turut hadir ialah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.