Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Sajian Latin Amerika diiktiraf di Hong Kong

    HONG KONG – Arepas, taco dan resipi lama keluarga chimichurri: gabungan perasa Ricardo Chaneton yang sudah menjadi kebiasaan penduduk Latin Amerika berjaya memperoleh bintang Michelin untuk restorannya di Hong Kong – yang pertama dianugerahi kepada cef Venezuela.

    Bagi Chaneton, yang terkenal dengan masakan Perancis untuk sekian lama, mendapatkan bintang tersebut dua tahun lalu selepas pembukaan restoran Mono merupakan sumber kebanggaannya – serta satu tanggungjawab yang ‘berat.’

    “Di dunia masakan Hong Kong, semua orang sedang memerhatikan kami. Memandangkan saya menjadi warga Venezuela pertama yang dianugerahi bintang Michelin mendorong orang memberikan tumpuan kepada awda,” beritahu cef berusia 34 tahun itu kepada AFP.

    “Namun saya memberitahu mereka supaya usah berasa bimbang kerana kami mewakili benua kami dan negara kami dalam cara yang terbaik mungkin.”

    Terletak di daerah mewah Central di Hong Kong, Mono telah pun menerima sambutan yang menggalakkan di seluruh rantau – pada 2021, ia adalah antara 50 Restoran Terbaik di Asia, kemunculan pertama sedemikian untuk restoran Latin Amerika.

    Kelihatan Cef Ricardo Chaneton bekerja di restoran bintang Michelin ‘Mono’ di Hong Kong. – AFP
    Pekerja sedang bekerja di dapur di restoran Mono di Hong Kong. – AFP
    Sajian burung merpati, pencuci mulut coklat dan roti sourdough di restoran Mono di Hong Kong. – AFP

    Gambar menunjukkan suasana dalam restoran Mono. – AFP

    Ia pada mulanya digelar ‘Perancis kontemporari’ disebabkan pengalaman Chaneton di Mirazur, restoran French Riviera terkenal yang diundi restoran terbaik dunia pada 2019.

    Namun sebulan sebelum pembukaan Mono, pengunjung telah pun menghubungi restorannya di Latin Amerika, kata beliau.

    “Ia adalah apa yang kami mahu. Elemen Perancis akan sentiasa wujud, tetapi saya dilahirkan di Venezuela, nenek Colombia, datuk Argentina, dan itulah caranya saya menggabungkan perisa saya sendiri,” kata cef yang datang dari Caracas itu.

    Loghat pertuturan Sepanyol yang berlainan boleh kedengaran dari dapur terbuka Chaneton – kakitangannya berasal dari Venezuela, Mexico, Guatemala dan Brazil – dan sajian mereka merupakan bukti cita rasa pelbagai dari rantau berkenaan.

    Dalam menu Chaneton terdapat hidangan burung merpati Racan Perancis dimasak bersama chimichurri dan jicama – sayuran berakar yang lazim didapati dalam masakan Amerika Selatan – dan filet turbot Brittany yang mendapat warna kuning terang disebabkan minyak annatto, popular dalam hidangan Latin dan Asia.

    Masakan sampingan juga mengingatkan semua kepada makanan gerai tepi jalan yang biasa kepada penduduk Venezuela dan Mexico – seperti jagung hallaquita, yang sama seperti tamale Venezuela, atau arepas yang berintikan udang kara dan daging yang dimasak lama.

    “Kami tidak mahu menghasilkan masakan tradisional 100 peratus, tetapi ia berdasarkan pada persepsi dan tafsiran kami mengenai nostalgia dan memori cita rasa,” ujar cef itu.

    Meskipun menerima bintang Michelin, pengalaman Mono telah pun menjadi anti-kemuncak disebabkan sekatan koronavirus ke atas restoran tertutup di Hong Kong semasa gelombang Omicron.

    Chaneton berkata dia menerima berita tentang anugerah tersebut pada pagi Januari – hari yang sama di mana kerajaan Hong Kong memberitahu restoran supaya membatalkan orang ramai daripada memakan dalam restoran selepas 6 petang.

    “Kami mempunyai pengalaman pahit manis kesemuanya pada hari yang sama,” beritahu Chaneton kepada AFP. “Saya tidak sabar-sabar untuk memberikan perkhidmatan bintang Michelin pada malam.”

    Dengan kes COVID berkurangan, kerajaan telah mengumumkan bahawa makan malam di restoran dibenarkan pada 12 April.

    Dia tidak kesal dengan liku-liku perjalanannya sebelum meraih bintang Michelin, bermula dengan perniagaan piza Caracas kepada pakar masakan Perancis di bawah kepimpinan cef legenda Mauro Colagreco.

    Selepas bekerja sebagai cef eksekutif di Petrus Hong Kong di Hotel Shangri-La sebelum menceburi perniagaannya sendiri, Chaneton berkata dia bersyukur dengan perjalanannya dalam dunia masakan.

    “Saya fikir perkara paling menarik mengenai Mono adalah ia merupakan jendela di Asia untuk gastronomi Latin Amerika,” katanya.

    “Sekiranya saya telah memenangi bintang Michelin dalam masakan Perancis, ia tidak akan mempunyai kisah yang sama.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...