LONDON, 1 Okt – Pemain antarabangsa Senegal, Diafra Sakho keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir untuk menewaskan Swansea City 1-0, meraih tiga mata penting yang mungkin telah menyelamatkan tugas jurulatih Slaven Bilic.
Sakho, 27, yang menggantikan Javier Hernandez dengan perlawanan berbaki 12 minit, menjaringkan gol dari jarak dekat selepas menerima hantaran daripada Arthur Masuaku, yang meluru dari sayap kiri untuk mencipta peluang.
Sebelum itu, West Ham nyaris memecahkan kebuntuan apabila Andy Carroll mendapati percubaannya terkena gawang, sekali lagi daripada hantaran Masuaku, yang menggantikan bekas bintang Swansea, Andre Ayew.
Kekalahan itu adalah yang pertama di gelanggang luar bagi Swansea, yang dilihat mahu bertahan bagi meraih satu mata dalam perlawanan hambar itu.
Kedua pasukan mempunyai peluang masing-masing di separuh masa pertama dengan Michail Antonio menyaksikan percubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Swansea, Lukas Fabianski hanya selepas tiga minit perlawanan.
Ketika perlawanan memasuki setengah jam, Swansea dikecewakan apabila percubaan Wilfried Bony digagalkan Joe Hart.
West Ham melonjak ke kedudukan ke-15 di carta sementara Swansea berada di kedudukan ketiga dari bawah dan dalam zon penyingkiran. – AFP