Saksi dedah taktik tertuduh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Empat lagi saksi pendakwaan dari Biro Mencegah Rasuah (BMR) dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hari ini, di Mahkamah Tinggi.

Seorang daripada saksi memberi keterangan telah mengambil gambar semasa penggeledahan dibuat di kediaman tertuduh pada 8 Mac 2018.

Dalam keterangannya, dia mengambil sebanyak 456 gambar melibatkan barang-barang berjenama terdiri daripada beg tangan, dompet, jam tangan, kasut dan aksesori.

Seorang lagi saksi iaitu penolong penyiasat khas yang diarahkan untuk menjadi pegawai penyiasat bagi kes Ramzidah, memberitahu mahkamah bahawa dia bersama pegawai lain telah menganalisis dokumen yang disita dari pejabat Ramzidah dan mendapati terdapat pengeluaran tunai dibuat dalam akaun penerima rasmi bank A di bawah nama Ramzidah.

Ini berdasarkan daripada buku akaun bank, salinan borang pengeluaran wang tunai dan surat daripada bank A yang menyatakan terdapat pengeluaran wang telah dibuat.

Antara barangan yang disita.

Pada 8 Januari 2018, pegawai BMR menemui satu beg berkunci, yang mengandungi fail-fail kebankrapan. Siasatan mendedahkan, 15 daripada 19 fail kebankrapan itu mengandungi pengeluaran wang tunai yang dibuat oleh Ramzidah.

Siasatan lanjut ke atas kes-kes kebankrapan di bawah kendalian Ramzidah telah dijalankan dan pada masa sama, pertanyaan dibuat kepada bank-bank tempatan.

Untuk membantu siasatan, bank A telah menyerahkan 608 borang pengeluaran tunai asal bagi transaksi yang dibuat Ramzidah.

Borang-borang berkenaan adalah bagi pengeluaran wang tunai daripada 255 akaun penerima rasmi daripada 18 November 2004 hingga 5 Disember 2017 dengan jumlah keseluruhan $15,750,292.24.

Melihat pada penyata akaun, terdapat tiga tarikh lain apabila pengeluaran dibuat tetapi tidak ada borang pengeluaran tunai asli yang dijumpai oleh bank A.

Satu fail yang mengandungi surat-surat ditemui dalam laci meja berkunci di pejabat Ramzidah, dan laci berkenaan dibuka secara paksa pada 10 Januari 2018.

Saksi memberitahu mahkamah, dia telah memeriksa surat itu dan mendapati ia ditujukan kepada bank B dan C untuk memaklumkan bahawa pihak mahkamah akan membuka akaun penerima rasmi lain bagi tujuan mengumpul dividen yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, akaun di kedua-dua bank tersebut masih lagi dibiarkan aktif. Wang yang terkumpul dalam akaun tersebut akan dikeluarkan melalui cek untuk membuka akaun kedua.

Surat-surat itu dilampirkan bersama salinan yang tidak bertarikh kepada bank A untuk membuka akaun penerima rasmi baharu, yang menyatakan bahawa surat termasuk cek adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun. Surat-surat berkenaan ditandatangani oleh Ramzidah, kata saksi.

Melalui dokumen tersebut, pegawai penyiasat mendapati bahawa Ramzidah telah membuka dua akaun penerima rasmi untuk 18 penghutang. Akaun kedua itu dibuka di bank A.

Corak perbuatan yang dilihat selepas meneliti penyata akaun bank A ialah tidak lama selepas akaun penerima rasmi dibuka menggunakan cek yang dimasukkan, Ramzidah akan mengeluarkan wang tunai daripada akaun kedua penerima rasmi.

Salah satu akaun melibatkan cek yang dikeluarkan oleh bank B dalam jumlah $504,557.51 telah dimasukkan ke dalam akaun penerima rasmi baharu pada 13 Oktober 2015.

Pada 1 Disember 2015, Ramzidah telah mengeluarkan $503,000.

Menurut saksi, siasatan yang dijalankan olehnya tidak ada menunjukkan wang yang dikeluarkan daripada 18 akaun penerima rasmi berkenaan digunakan untuk pembayaran dividen.

Siasatan ke atas seorang pembantu penerima rasmi di Unit Kebankrapan mendapati Ramzidah akan membuat tanda nota seperti ‘IN FD’ ataupun ‘FD’ pada beberapa surat bank di dalam Sistem Pengurusan Kes Kehakiman.

Nota tersebut menandakan bahawa wang tunai yang dikeluarkan telah dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap.

Selepas menjumpai 27 keping surat yang mengandungi nota tersebut, pegawai penyiasat telah menanyakan kepada bank-bank tempatan mengenai kedudukan akaun simpanan tetap di bawah nama Ramzidah.

Pejabat Penerima Rasmi juga menyerahkan surat-surat daripada beberapa bank tempatan berhubung dengan perkara berkenaan, kata saksi kepada mahkamah.

Tidak ada akaun simpanan tetap ditemui di bawah nama Ramzidah di bank A, B, C, D, E, F, G dan H.

Menurut saksi, antara April 2018 hingga Disember 2018, sejumlah 234 penghutang penghakiman telah dihubungi untuk membantu siasatan, yang mana 19 daripada mereka telah meninggal dunia tetapi empat daripadanya telah diwakili oleh ahli keluarga mereka untuk membantu siasatan.

Penghutang penghakiman ini tidak pernah meminta timbalan penerima rasmi untuk mengeluarkan wang tunai bagi pihak mereka dan juga tidak pernah menerima wang tunai daripada penerima rasmi.

Salah seorang penghutang penghakiman ada memaklumkan pegawai BMR bahawa dia telah membuat bayaran penuh hutangnya dengan tunai sebanyak $35,000 pada 19 April 2017 tetapi Perintah Penerimaan terhadapnya tidak dibatalkan.

Wang berkenaan tidak dimasukkan ke dalam akaun penerima rasmi penghutang.

Rakaman CCTV di cawangan utama bank A telah diminta untuk membantu siasatan, yang diterima pada Jun 2018, dan mengandungi rakaman pada 5 Disember 2017 yang menunjukkan Ramzidah sedang berdiri di kaunter juruwang untuk transaksi pengeluaran wang tunai.

Mengikut keterangan, wang tunai yang dikeluarkan Ramzidah pada tarikh itu berjumlah $442,000 daripada tujuh akaun penerima rasmi.

Pada Ogos 2018, BMR telah menanyakan kepada pemiutang penghakiman melalui firma guaman masing-masing mengenai kedudukan tuntutan mereka.

Daripada jawapan yang diterima dan juga dokumen yang diberikan oleh Pejabat Penerima Rasmi, pegawai penyiasat menyatakan bahawa hanya 12 kes yang telah dibayar dividen menggunakan cek ataupun pindahan bank sahaja.

Dalam keterangannya, pegawai penyiasat kes membuat kesimpulan bahawa bayaran dividen sepatutnya boleh dibuat jika tidak ada pengeluaran wang tunai dibuat oleh Ramzidah.

Sebagai contoh, katanya, seorang penghutang penghakiman mempunyai hutang sebanyak $115,508.87 tetapi antara 2011 dan 2016, Ramzidah mengeluarkan sebanyak $172,000.

Prosiding dihentikan dan QC Jonathan Caplan akan menyambung lagi pemeriksaan ke atas pegawai penyiasat yang sama esok.