Monday, October 3, 2022
24.6 C
Brunei

Saksikan keindahan matahari terbit di Gunung Fuji

-

GUNUNG FUJI, JEPUN – Selama setahun, kemuncak gunung ikonik Fuji di Jepun tidak membenarkan pelancong masuk disebabkan koronavirus, tetapi sekarang pendaki kembali mengunjunginya untuk menyaksikan keindahan fajar menyingsing di sebalik awan.

Cerun simetri gunung berapi aktif itu ditutup kepada orang awam pada musim panas lalu disebabkan pandemik, dan hanya dibuka semula bulan ini.

Pada awal pagi baru-baru ini, lebih 100 orang berkumpul di kemuncak gunung suci itu, yang dilitupi ais dan salji sepanjang tahun.

“Fuji sentiasa dihormati oleh orang. Ia merupakan gunung yang menjadi objek pemujaan,” kata TakeoTokunari, pendaki berusia 34 tahun.

“Walaupun saya bukan seorang yang warak, saya terasa seolah-olah dosa-dosa saya dibersihkan dengan mengunjungi gunung ini.”

Seorang lelaki sampai ke kemuncak Gunung Fuji. – AFP
Orang ramai melihat matahari terbit dari kemuncak Gunung Fuji, kira-kira 70km dari barat ibu negara Tokyo. – AFP

Fuji-san, seperti yang dikenalinya dalam bahasa Jepun, merupakan contoh unggul negara yang sedang menganjurkan Olimpik Tokyo buat masa sekarang.

Acara lumba basikal sedang berlangsung di sekitar cerun gunung, dengan pendakian curam perlumbaan jalan raya jarak jauh mencabar walaupun atlet paling aktif dalam cuaca panas terik di Jepun.

Gunung setinggi 3,776 meter itu mengambil perjalanan kira-kira dua jam dengan kereta api dari tengah Tokyo.

Namun ia dapat dilihat beberapa batu jauhnya, dan telah diabadikan dalam pelbagai kerja seni Jepun, termasuk hasil karya Hokusai yang terkenal di dunia ‘GreatWave’.

Sejurus selepas pukul 4:30 pagi, setelah mendaki sepanjang malam dan berehat sekejap di lereng gunung, pendaki berasa sungguh teruja dapat menghayati keindahan pemandangan mata hari terbit.

Pendaki ke kemuncak gunung boleh menyaksikan mata hari muncul dari awan di belakang pagar tradisional ‘torii’ di lereng gunung.

“Saya pernah mendaki gunung lain, tetapi Gunung Fuji adalah istimewa,” ujar Haruka Fujimori, seorang pramugari berusia 23 tahun.

“Ia adalah gunung berapi yang tidak dikaitkan dengan mana-mana banjaran gunung lain, ia berdiri sendirian tersergam megah di landskap, saya mendapatinya amat indah.”

Mizuki Ogawa, juga berusia 23 tahun, memberitahu AFP pada kemuncak bahawa mendaki Fuji telah menjadi satu cabaran peribadi bagi dirinya.

“Dalam kehidupan harian saya dan di tempat kerja, ada kalanya saya mengalami situasi sukar yang membuat saya kehilangan keyakinan dalam diri saya,” katanya.

“Maka saya mencabar diri saya untuk mendaki Gunung Fuji untuk mengembalikan semula keyakinan saya.”

Namun sementara gunung nampak mengagumkan, ia juga berbahaya.

Laluan pendakian dari stesen kelima di cerunnya sehingga ke kemuncak hanya dibuka pada awal Julai hingga September.

Sementara bulan-bulan lain gunung itu dianggap terlalu berbahaya untuk didaki dan tempat penginapan dan tandas di laluan mendaki ditutup untuk menghalang pendaki daripada mengadakan kunjungan ke sana.

Namun ia gagal menghalang orang ramai, dan pada Oktober 2019 seorang lelaki maut selepas terjatuh ke bawah gunung sementara membuat penstriman secara langsung.

Fuji kali terakhir meletus pada 1707, dan sementara ia belum menunjukkan sebarang tanda-tanda kehidupan dalam beberapa dekad ini, pakar berkata satu letusan mungkin menghujani Tokyo dalam abu dan memaksa ratusan ribu berpindah.

Namun buat masa sekarang, ia merupakan aktiviti awal pagi untuk pengembara seperti Chikako Kubo, 29.

“Terdapat sesuatu yang segar dan menyeronokkan: matahari terbit merupakan satu permulaan, satu peluang untuk membuat penilaian dan memulakan sesuatu yang baharu,” katanya. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik keempat

SEOUL, 2 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik kelmarin, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu. Ujian itu...
- Advertisment -