Saksikan perlawanan akhir memanah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri hari ini, berkenan berangkat menyaksikan Pertandingan Memanah BDAA di Lapang Sasar Memanah Kompleks Sukan Jerudong.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Berkenan menyertai pertandingan pada hari terakhir ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dalam kategori Female Recurve dan Team Recurve Mix.

Berangkat sama menyaksikan pertandingan ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Pasukan Elite yang berkenan disertai oleh YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berjaya muncul juara dalam kategori Team Recurve Mix setelah berjaya mengalahkan Pasukan SBAC Sepadian dalam perlawanan peringkat akhir dengan pungutan mata sebanyak 1,599 berbanding lawannya yang hanya memperoleh sebanyak 1,452 mata.

Dalam kategori Female Recurve, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berjaya menduduki tempat kedua, sementara johan disandang oleh Dayang Amal Rashidah binti Haji Yussof dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayang Noor Saniah binti Awang Mohd Ja’afar.

Hadiah-hadiah bagi para pemenang pertandingan memanah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pertandingan memanah yang diadakan selama tiga hari bermula 6 Disember 2019 lepas yang julungkalinya dianjurkan oleh Persatuan Memanah Negara Brunei Darussalam tersebut telah berjaya menarik sebanyak lebih 80 penyertaan dalam 11 kategori pertandingan yang diadakan selama tiga hari tersebut.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke pertandingan akhir memanah BDAA di Kompleks Sukan Jerudong. Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim, YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman. – Gambar oleh Infofoto
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan bergambar ramai selepas acara penyampaian hadiah. – Gambar oleh Rahwani Zahari