Penyanyi Nourul Depp mengaku dikecam warganet gara-gara sanggup menjual cincin pernikahan yang dianggap mempunyai nilai sentimental, selain dia dikata tidak pandai menghargai pemberian itu.
Nourul bagaimanapun menjelaskan, cincin yang dilelong untuk tujuan kebajikan berkenaan adalah cincin pertama perkahwinannya dengan komposer Ajai, kira-kira 25 tahun lalu.
“Cincin perkahwinan yang masih bahagia mestilah tetap saya pakai dan takkanlah nak buat begitu (jual). Cincin yang saya lelong ini, adalah cincin perkahwinan yang dah hancur lebur.
“Kadang-kadang mereka suka baca tak habis, kemudian buat andaian sendiri. “Saya sebenarnya bukanlah suka sangat barang kemas. Saya lebih suka emas putih dan perak. Saya hanya ada satu saja cincin emas pemberian ibu saudara yang masih disimpan.
“Saya ada tawarkan kepada anak perempuan, Ayu Nazirah tapi dia pun tak nak. Bagi saya, daripada simpan begitu saja dan perlu bayar zakat, jadi lebih baik saya jual kemudian sedekahkan duit itu kepada badan kebajikan,” katanya.
Menurut Nourul, dia tidak menyangka cincin terbabit sudah terjual dengan pembida tertinggi iaitu RM750, pagi tadi. “Alhamdulillah cincin terbabit sudah terjual pagi tadi oleh salah seorang pengikut saya yang berminat.
“Kesemua hasil keuntungan akan disalurkan kepada badan kebajikan We Care by Puan Rozina Zakaria,” katanya.
Untuk rekod Nourul mendirikan rumah tangga dengan Ajai pada 25 Disember 1996 dan berpisah pada 28 Febuari 2007. Hasil perkahwinan itu, Nourul dan Ajai dikurniakan cahaya mata perempuan, Ayu Nazirah kini berusia 20an.
Kemudian Ajai mendirikan rumah tangga dengan Norliza Ilias pada 15 Ogos 2009 manakala Nourul pula bernikah dengan Eric Daniel Depp pada 6 Jun 2012. – Agensi