Salah ingin kekal di Liverpool

LONDON, 24 OKT – Mohamed Salah memberitahu Liverpool bahawa dia ingin kekal untuk sepanjang kerjayanya, tetapi penyerang Mesir itu menegaskan kejayaan rundingan kontraknya dengan kelab itu ‘tidak bergantung pada saya’.

Kontrak semasa Salah akan tamat pada 2023 dan Liverpool cuba memuktamadkan perjanjian jangka panjang baharu.

Pemain berusia 29 tahun itu setakat ini tidak dapat bersetuju dengan pasukannya di tengah-tengah laporan yang mengatakan dia inginkan gaji yang akan menjadikan dia salah seorang pemain yang berpendapatan tinggi di Liga Perdana Inggeris.

Hal itu telah mencetuskan kebimbangan bahawa Salah akan meninggalkan Anfield akhirnya, kebimbangan bertambah apabila dia cuba dipancing oleh Real Madrid musim lalu.

Tetapi, menjelang pertembungan Liverpool dengan musuh ketat, Manchester United hari ini, Salah berkata dia akan kekal selama-lamanya jika diberi peluang.

“Ia tidak bergantung pada saya, tetapi jika awda bertanya kepada saya, saya ingin kekal sehingga hari terakhir kerjaya bola sepak saya,” beritahu Salah kepada Sky Sports pada Jumaat lalu.

Dia merupakan pemain Liverpool pertama yang pernah menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan juga menjadi pemain terpantas menjaringkan 100 gol untuk Liverpool pada bulan September. – AFP