Salah jadi tumpuan

KAHERAH, 12 Jun — Mohamed Salah mempunyai kebolehan untuk menceriakan mana-mana pasukan terutama sekali Mesir.

Pemain penyerang Liverpool telah melalui musim yang hebat tetapi beraksi di Piala Dunia akan menjadi pengalaman baharu untuknya jika dia pulih daripada kecederaan bahu.

Mesir layak ke pertandingan berprestij itu buat pertama kali dalam tempoh 28 tahun dan peluang bersaing dalam Kumpulan A yang dibarisi dengan Rusia, Arab Saudi dan Uruguay bergantung kepada pemain berusia 25 tahun, Salah.

Salah mengalami kecederaan semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid bulan lepas dan sudah setentunya diketepikan dalam tiga perlawanan pemanasan badan terakhir Mesir baru-baru ini: Seri dengan Kuwait dan Colombia dan tewas 3-0 kepada Belgium.

“Ia sangat sukar untuk mencari pengganti Salah,” kata jurulatih Hector Cuper. “Tetapi kami mempunyai rancangan penggantian kerana pasukan ini tidak hanya bergantung pada seorang pemain sahaja.”

Juara Afrika tujuh kali itu layak ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 1990, Mesir akan berdepan dengan Rusia pada 19 Jun dan beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 25 Jun menentang Arab Saudi.

Jurulatih

Cuper mengambil alih tugas pada 2015 selepas penampilan yang suram di bawah kendalian pengurus dari Amerika Syarikat, Bob Bradley.

Pengurus berasal dari Argentina itu mempunyai pengalaman tujuh kali juara Afrika dan gagal untuk layak ke saingan kejuaraan kontinental.

Bukan sahaja Cuper membawa pasukan itu ke Piala Benua Afrika 2017 tetapi mereka turut mara ke peringkat akhir sebelum tewas kepada Cameroon. Kemudian impian piala dunia mereka tercapai dengan berbaki satu perlawanan dalam kempen kelayakan.

Pencapaian itu telah menutup mulut media yang mengkritik taktik Cuper dan menjadikannya hero kebangsaan. Pertubuhan bola sepak berharap Cuper menarik balik rancangan untuk mengundur diri selepas Piala Dunia.

Bagaimanapun, terdapat keraguan sama ada Cuper sudah cukup melakukan sesuatu untuk meningkatkan skuad yang sering kehilangan bola, mensia-siakan peluang di depan gawang dan lemah di udara.

Penjaga Gol

Pada usia 45 tahun, Essam el-Hadary akan menjadi pemain paling tua beraksi di Piala Dunia. Rusia mungkin menjadi destinasi terakhir dalam kariernya dan membawanya untuk beraksi di Switzerland, Sudan dan Arab Saudi, di mana dia beraksi untuk Al-Taawoun.

Dengan pengalaman antarabangsanya, El-Hadary perlu berhati-hati dengan beberapa keputusan buruk yang dilakukannya dalam beberapa tahun kebelakangan.

Sementara Ahmed el-Shennawy menjadi pilihan kedua selepas El-Hadary sebelum diketepikan daripada Piala Dunia kerana mengalami kecederaan lutut sekali gus memberi peluang kepada penjaga gol Al-Ahly Mohammed el-Shennawy untuk menjadi pengganti.

Barisan pertahanan

Keyakinan Ahmed Hegazy semakin meningkat dan pemain pertahanan West Bromwich Albion menjadi pilihan utama untuk posisi tersebut.

Bergandingan dengan pemain seperti Ali Jabr, Ahmed Fathi dan Mohamed Abdel-Shafi.

Pemain pertahanan Mesir membuktikan kebolehan mereka semasa menentang Colombia. Namun kehilangan konsentrasi semasa menentang Belgium menghukum mereka dengan tiga gol.

Barisan tengah

Berita baik buat pasukan Mesir selepas pemain Arsenal Mohamed Elneny kembali selepas mengalami kecederaan buku lali dan beraksi dengan baik semasa perlawanan menentang Belgium. Bekas rakan sepasukan Salah di Basel, Switzerland, Elneny akan menyertai barisan tengah bersama Tarek Hamed.

Barisan penyerang

Selepas mengumpul 44 gol musim ini, belum ada pengganti sebenar untuk Salah jika dia tidak cergas untuk beraksi menentang Uruguay. Tidak ada pemain penyerang dalam skuad itu yang mempunyai kebolehan, kelajuan dan pergerakan seperti Salah.

Dengan ketiadaan Salah, Cuper berkemungkinan besar akan membarisi bahagian serangan dengan Marwan Mohsen di bahagian tengah, Mahmoud Hassan dan Amr Warda di bahagian tepi. – AP