Salah penyelamat maruah The Reds

LONDON, 13 SEPT – Jaringan hatrik Mohamed Salah menyelamatkan Liverpool daripada dimalukan pada perlawanan pembukaan ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris membenam Leeds 4-3 kelmarin.

Hanya selepas 48 hari musim lalu yang tertunda ditamatkan, Liga Perdana Inggeris kembali dengan perlawanan penuh aksi ketika Liverpool dan Leeds, yang kembali ke liga utama selepas menghilang selama 16 tahun, menyaksikan perlawanan pembukaan kempen 2020-2021 yang penuh dengan jaringan gol.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp menjulang piala liga buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun musim lalu, tetapi Liverpool dilihat goyah selepas Leeds tiga kali bangkit dari ketinggalan. Salah berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-4 apabila percubaannya terkena pemain pertahanan Leeds, Robin Koch lalu tertampan bola semasa dia melebarkan tangannya.

Leeds kemudiannya memberikan kejutan dengan menjaringkan gol penyamaan dalam 12 minit permainan apabila pemain tengah yang dipinjam dari Manchester City, Jack Harrison melepaskan diri dari kawalan Trent Alexander-Arnold dan Joe Gomez sebelum menyudahkan dengan sepakan rendah bertenaga melepasi bahagian bawah penjuru gawang.

Virgil van Dijk meletakkan Liverpool di hadapan lapan minit kemudian dengan tandukan padu dari sepakan penjuru Andy Robertson.

Leeds sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas kecuaian dari Van Dijk untuk mengeluarkan bola gagal dan Patrick Bamford mengambil kesempatan untuk melakukan percubaan dan melepasi penjaga gol, Alisson Becker.

Salah sekali lagi meledak gol tiga minit kemudian dengan sepakan deras menuju gawang. – AFP

Aksi Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti semasa menentang Leeds. Jaringan hatrik Salah menyelamatkan Liverpool untuk mencatat kemenangan 4-3 ke atas Leeds. – AP