PARIS, 3 OKT – Rasa berpuas hati nyaris memakan diri apabila juara bertahan Liverpool meraih kemenangan dramatik 4-3 ke atas Salzburg awal pagi tadi selepas mensia-siakan kelebihan tiga gol di Anfield sebelum Mohamed Salah meledakkan gol kemenangan.
Salah muncul wira buat Liverpool bagi saingan Kumpulan E itu selepas menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu pada minit ke-69, menafikan Salzburg untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata selepas pemain remaja sensasi Erling Braut Haaland mengejutkan Reds apabila melengkapkan satu kebangkitan luar biasa dengan golnya yang ke-18 musim ini.
“Semasa kami menuju kemenangan, kami perlu menjaringkan gol keempat, kelima dan keenam. Ia agak mengecewakan kerana fikiran manusia berkata ‘OK kami bakal memenangi perlawanan ini’,” kata Salah.
Tuan rumah kelihatannya bakal meraih kemenangan selesa apabila Salah meledakkan gol ketiga Liverpool, menambah dua gol sebelum itu yang dijaringkan oleh Sadio Mane dan Andy Robertson, namun satu ledakan menarik Hee-Chan Hwang sebelum rehat telah memberikan sedikit harapan buat Salzburg.
Dua gol dalam tempoh empat minit pada separuh masa kedua menerusi Takumi Minamino dan pemain gantian berusia 19 tahun, Haaland telah mendiamkan penyokong tuan rumah.
Bagaimanapun, Salah menggegarkan Anfield dengan jaringannya yang keenam musim ini dalam semua persaingan, meletakkan Liverpool berkongsi tiga mata dengan Salzburg dalam kumpulan, satu mata di belakang Napoli selepas seri tanpa jaringan di Genk.
“Mereka menyukarkan kami tetapi kami gembira untuk meraih tiga mata. Itu lebih penting,” kata Salah. – AFP



































