Salam Silaturahim Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN,19 JUN – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus diraikan dengan penuh kemeriahan di mana Kumpulan Bank Baiduri tidak ketinggalan untuk menganjurkan acara perayaan bersama para pelanggan dan rakan-rakan perniagaannya yang berlangsung di Hotel Empire and Country Club, hari ini.

Pada majlis berkenaan, para jemputan dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dan pihak pengurusan Kumpulan Bank Baiduri.

Majlis Sambutan Hari Raya yang membawa konsep rumah terbuka, Salam Silaturahim Baiduri, bermula dari pukul 11 pagi hingga 4 petang itu memberikan peluang kepada para pelanggan dan rakan-rakan perniagaan Bank Baiduri untuk beramah mesra dalam suasana perayaan yang meriah sambil menikmati pelbagai hidangan makanan tempatan dan kuih-muih raya.

Berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Baiduri, dan Pengiran Elina Zuraidah binti Pengiran Kamaluddin.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar, perwakilan-perwakilan dari negara-negara luar di Negara Brunei Darussalam, orang-orang kenamaan, ahli-ahli perniagaan, pelanggan-pelanggan dan rakan-rakan perniagaan Kumpulan Bank Baiduri.

YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah dan Pengiran Elina Zuraidah semasa berangkat menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Group Sdn Bhd, Albert Lau berserta tetamu-tetamu lain.
Para jemputan menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Dalam mesejnya pada majlis berkenaan, Ti Eng Hui menyatakan penghargaan kepada semua tetamu atas sokongan padu mereka selama ini dan bagi mewakili Kumpulan Bank Baiduri, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka, pelanggan dan rakan-rakan kongsi bagi sokongan berterusan selama ini serta dalam menjadikan Bank Baiduri sebagai bank konvensional utama di Brunei.

Semasa majlis itu, para jemputan diraikan dengan pelbagai persembahan menarik oleh artis-artis tempatan termasuk Eia dan Dayat yang mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya klasik seperti Suasana Hari Raya dan Satu Hari di Hari Raya, yang memeriahkan lagi suasana majlis berkenaan.

Para jemputan turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan persembahan-persembahan muzik yang menarik.

Pada majlis itu juga, sebuah video yang mengetengahkan pelbagai pencapaian dan aktiviti bank berkenaan turut ditayangkan yang meliputi anugerah-anugerah dan pengiktirafan bagi Kumpulan Bank Baiduri seperti Bank of The Year 2018 dari The Banker, Best Bank Group for Brunei 2018 dari World Finance dan Domestic Retail Bank of The Year for Brunei 2018 dan Credit Card Initiative of The Year for Brunei 2018 dari Asian Banking and Finance Magazine.

Majlis Sambutan Hari Raya tahunan itu diadakan bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara kumpulan bank berkenaan dengan pelanggan-pelanggan dan klien korporatnya yang memainkan peranan penting dalam kejayaan serta pertumbuhan kumpulan itu.