Salernitana sedia sambar Frank Ribery

ROM, 5 SEPT – Franck Ribery, ejen bebas sejak musim panas, akan melanjutkan kariernya di Salernitana, sebuah kelab dinaikkan ke Serie A musim ini, lapor media Itali hari ini.

Kelab itu mengesahkan ada perjanjian utama, tetapi belum mengesahkan penandatanganan bekas pemain antarabangsa Perancis dan Bayern Munich yang berusia 38 tahun itu.

Ribery telah menjadi ejen bebas sejak Fiorentina memilih untuk tidak memperbaharui kontrak dua tahun pada musim panas.

“Ribery akan tiba di Salerno esok untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan kemudian dia akan menandatangani kontrak yang akan mengikatnya selama satu tahun bersama Dark Reds,” menurut Corriere dello Sport.

Akhbar sukan Rom itu melaporkan kelab itu akan membayar Ribery 1.5 juta euro (AS$1.8 juta) untuk musim ini dan telah menyediakan rumah untuknya.

“Pada dasarnya ada perjanjian, kami sedang menunggu pengesahan,” kata Angelo Fabiani, pengarah sukan kelab, yang dipetik oleh Corriere dello Sport.

“Dengan pengalamannya, dia bermanfaat dalam membangunkan Salerno, dia dapat membimbing dan membantu jurulatih. Memiliki orang sepertinya selalu mendorong orang lain untuk memberikan yang terbaik.”

Ribery mengatakan bahawa dia ingin tinggal di Florence, di mana dia membuat 50 penampilan Serie A dengan menjaringkan lima gol, tetapi sejak 30 Jun lalu, dia terus berlatih untuk sementara waktu di Bayern, sementara menunggu tawaran.

Salernitana kembali ke Serie A musim ini untuk pertama kalinya sejak 1998-99 dan telah membuka kempen musim baharu mereka dengan dua kekalahan.

Kemungkinan penandatanganan itu telah memberi inspirasi kepada kelab Salerno, selatan Naples. – AFP

Bekas bintang Bayern Munich, Franck Ribery akan melanjutkan kariernya di Salernitana, menurut laporan kelab itu kelmarin. – AP