Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Salji hitam melanda Rusia

    BAYANGKAN tidur selepas turunan salji yang lebat seharian dan kemudian bangun pada keesokan harinya dan mendapati semua salji yang berwarna putih bertukar kepada warna hitam semalaman. Itulah yang dialami oleh penduduk-penduduk di Kiselevsk dan Prokopyevsk, dua bandar raya di rantau Kuzbass, Rusia, baru-baru ini.

    Gambar dan video yang dikongsikan di dalam media sosial baru-baru ini telah membimbangkan penduduk di dua bandar raya Rusia itu, yang menunjukkan realiti kehidupan di kawasan perlombongan batu arang itu – padang, taman dan jalan raya yang diliputi sajli telah diselimuti dengan debu dan jelaga batu arang yang secara literalnya telah merubah salji putih kepada padang hitam.

    Kita pernah melihat salji kotor di kawasan bandar sebelum ini, namun salji hitam di Kiselevsk dan Prokopyevsk adalah suatu pemandangan yang jarang dilihat dan mengganggukan, sehingga para penduduk tempatan merasa bimbang terhadap kualiti udara yang mereka hirup setiap hari. Kebanyakan mereka telah membawa isu ini ke dalam media sosial dan menyuarakan kebimbangan mereka serta memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap loji pemprosesan batu arang yang berada di kawasan berdekatan, namun pegawai tempatan mendakwa bahawa masalah tersebut adalah begitu kompleks.

    Andrey Panov, Timbalan Gabenor Wilayah Kemerovo bagi Industri, Pengangkutan dan Ekologi, memberitahu pemberita bahawa pembangunan rangkaian gas di rantau ini tidak pernah disokong terutamanya kebanyakan bangunan masih bergantung kepada dandang batu arang bagi tujuan pemanasan, jadi isi rumah persendirian dan perniagaan tempatan kesemuanya menyumbang kepada pencemaran yang teruk. Wasap ekzos kenderaan juga harus dipersalahkan, tambah Panov.

    Anatoly Volkov, ketua pengarah loji batu arang Prokopievskaya berhampiran Prokopyevsk, memberitahu salah sebuah saluran televisyen tempatan bahawa syarikatnya telah menggunakan penutup khas bagi melindungi bandar raya berdekatan dari sebatian berbahaya, tetapi ianya sukar untuk mempercayai bahawa loji itu sama sekali tidak bertanggungjawab terhadap isu kehitaman sajli tersebut.

    Sebuah pasukan pemeriksa dari agensi alam sekitar Rusia telah dihantar ke dua loji pemprosesan batu arang untuk menyiasat sama ada had pencemarannya adalah melebihi, dan pegawai-pegawai tempatan telah mengumumkan pertemuan dengan syarikat-syarikat perlombongan batu arang untuk membincangkan isu-isu alam sekitar.

    Menariknya, sementara ramai yang telah mengulas pandangan mereka mengenai gambar dan video salji hitam di Kiselevsk dan Prokopyevsk dan mengkritik kerajaan mengenai situasi tersebut, sesetengah orang menggambarkan fenomena itu sebagai cantik tapi pelik. – Agensi

    Salji hitam yang berlaku di Kiselevsk dan Prokopyevsk baru-baru ini adalah suatu pemandangan yang jarang dilihat dan mengganggukan, sehingga para penduduk tempatan merasa bimbang terhadap kualiti udara yang mereka hirup setiap hari. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda