Salji lebat landa Sweden, Finland

STOCKHOLM, 13 JAN – Ribuan penduduk di utara Sweden dan selatan Finland terputus bekalan elektrik hari ini selepas dilanda salji lebat, dan ahli kaji cuaca mengingatkan suhu amat sejuk bakal dialami di rantau Laut Baltik.

Di barat daya Finland, kira-kira 4,000 penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik, menurut penyiar Finland YLE, dengan pihak berkuasa berkata jumlah itu mungkin meningkat. Di Sweden, pembekal elektrik Eon berkata kira-kira 3,000 rumah terjejas dan menambah bekalan elektrik terputus mungkin berlarutan disebabkan terlalu berisiko untuk menghantar pekerja penyelenggaraan ke kawasan itu.

Perkhidmatan cuaca Sweden berkata salji yang turun, yang telah menjejas kawasan utara Sweden sejak 24 jam lalu, masih berlaku namun tidak begitu lebat.

Institut Meteorologi dan Hidrologi Sweden melaporkan salji sedalam 24 inci di utara Sweden.

Di Finland, salji menyelubungi selatan Finland, dan amaran mengenai keadaan jalan yang berbahaya telah dikeluarkan untuk hampir kesemua kawasan barat dan selatan Finland.

YLE berkata salji yang turun dijangka berkurangan hari ini dan akan diganti dengan cuaca amat sejuk, dengan suhu pada hari-hari akan datang menurun kepada -25 darjah Celsius di selatan dan -40 darjah Celsius di rantau Artik. – AP

Seorang wanita bergelut semasa berjalan di sebatang jalan dengan lapisan tebal salji di Helsinki, Finland, yang menyukarkan semua perjalanan pada 12 Januari 2021. – AP