Salji tebal jejaskan ratusan penduduk

PARIS, 15 NOV – Salji tebal di sebahagian besar kawasan di tenggara Perancis menyebabkan seorang mangsa maut manakala 300,000 rumah ketiadaan elektrik dengan keadaan berais menjejaskan perkhidmatan kereta api dan mencetuskan kesesakan lalu lintas hari ini.

Seorang lelaki 63 tahun terbunuh malam semalam di pangsapuri Isere selepas sebatang pokok dipenuhi salji jatuh menimpanya ketika mangsa cuba membersihkan satu lagi pokok tumbang, kata pegawai tempatan.

Pengendali syarikat elektrik, Enedis berkata 300,000 rumah tanpa bekalan elektrik hari ini terutama di pangsapuri Drome, Ardeche, Isere dan Rhone yang termasuk bandar Lyon dan Grenoble, kata jurucakap kepada televisyen BFM.

“Ia adalah situasi terpencil kerana salji tebal tertumpu di satu kawasan, sebab itulah mengapa kami mengalami kerosakan ketara terhadap bekalan kuasa.

“Berlaku insiden pokok tumbang dan dahan dipenuhi salji beku sekali gus menyebabkan litar pintas,” kata jurucakap Robin Devogelaere, menambah jalan raya berbahaya menjadikan sukar buat pasukannya untuk sampai dan membaiki kabel.

Salji turun sehinga 30 sentimeter di kawasan tinggi berhampiran pergunungan Alps dalam tempoh kurang 24 jam dan 15 sentimeter salji dilaporkan di Lapangan Terbang Lyon.

Agensi cuaca Meteo Perancis sudah menarik balik amaran perjalanan untuk kebanyakan tempat menjelang pagi hari ini, walaupun mengekalkan amaran untuk salji dan ais hitam di Saone-et-Loire.

Pengendali kereta api SNCF berkata, pokok dan dahan jatuh di landasan memaksa perkhidmatan terhenti di tiga jaringan utama berhampiran Lyon dan Grenoble sehingga tengah hari ini. – AFP

Sebuah van pengendali syarikat elektrik kebangsaan, Enedis ketika melalui sebuah kawasan yang terjejas berhampiran Tournon-sur-Rhone selepas salji turun kelmarin. – AFP