Salji tebal paksa stesen ski ditutup

VIENNA, 11 Jan – Salji tebal yang melanda beberapa bahagian di Austria memaksa beberapa stesen ski ditutup dan menyebabkan penghantaran garam bagi mencairkan salji di jalan raya tertangguh.

Di kawasan barat dan tengah negara itu telah ditenggelami salji sehingga setebal tiga meter, mengakibatkan ia hubungan terputus di beberapa bahagian.

“Apa yang boleh kami katakan secara statistiknya bahawa jumlah salji yang banyak di kawasan melebihi 800 meter altitud hanya berlaku sekali dalam tempoh 30 tahun hingga 100 tahun,” kata wakil Institusi Meteorologi dan Geodinamik Pusat Austria, Alexander Radlherr.

Sementara itu meskipun peningkatan terhadap permintaan garam melonjak, pihak pengeluar garam berdepan dengan masalah penghantaran berikutan penutupan beberapa jalan raya, menurut jurucakap wanita syarikat pengeluar garam, Salinen Austria kepada agensi AFP.

Pada masa sama, kira-kira 500 pekerja syarikat itu juga tidak dapat menuju ke ibu pejabat syarikat itu, yang terletak di daerah pergunungan, Salzkammergut.

Selain itu, stesen ski di beberapa wilayah seperti Styria, Upper dan Lower Austria juga terpaksa ditutup, susulan kebimbangan berlakunya salji runtuh, kejadian pokok tumbang atau insiden terputus bekalan elektrik.

Sebahagian kawasan di negara ini, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas tujuh peluncur salji dan pendaki terbunuh sejak Sabtu lalu, manakala dua lagi pendaki dilaporkan masih hilang.

Kebanyakan mangsa terbunuh dalam susuran salji tetapi perkhidmatan kecemasan berkata dua daripada mereka terkorban ketika jatuh ke dalam salji yang dalam mengakibatkan mereka sesak nafas.

Ketika ini, ratusan anggota tentera, bomba, kakitangan awam dan sukarelawan sedang bertungkus lumus membersihkan jalan raya serta bumbung yang ditenggelami salji tebal. – AFP