Salmon bukan punca wabak virus di Beijing

OSLO, 17 JUN – Norway berkata hari ini ikan salmon di negaranya bukan punca wabak koronavirus yang ditemui di Beijing baru-baru ini, selepas kebanyakan restoran dan peruncit China berhenti menjual ikan yang diimport itu.

Salmon Norway dikawal rapi di China selepas kluster kes koronavirus baharu yang ditemui baru-baru ini dilaporkan dikesan di pasar daging Xinfadi di Beijing dan papan cincang yang digunakan untuk memotong salmon diimport.

“Isu tersebut sedang disiasat. Kami akan mengeluarkan butir-butir hari ini,” kata menteri perikanan Odd Emil Ingebrigtsen, dipetik oleh TDN Finans.

Sekurang-kurangnya 137 orang telah dijangkiti sejak minggu lalu di ibu negara Beijing, kemunculan semula jangkitan yang telah membawa kepada lockdown beberapa kawasan dan pembatalan lebih 1,000 penerbangan.

Rantaian pasar raya termasuk Wumart dan Carrefour mengeluarkan semua stok salmon di ibu negara, tetapi berkata bekalan produk lain tidak akan terjejas, lapor Beijing Daily pada Sabtu.

Beberapa restoran Beijing telah berhenti menghidangkan mana-mana salmon pada hujung minggu lalu, menurut wartawan AFP.

Ketika dihubungi oleh AFP, kedutaan China di Oslo tidak memberikan sebarang komen. – AFP