Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Kedai Kecantikan Kajal, kedai pertama yang menawarkan perkhidmatan kecantikan tradisional India khusus bagi kaum hawa di Kompleks Muhibbah II, Kampung Menglait, telah dirasmikan, hari ini.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh pemilik kedai, Hajah Mehrun Nisa binti Abdul Rahman; isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke India, Dato Paduka Haji Adnan bin Buntar iaitu Pengiran Datin Hajah Yura Alaita binti PSN Pengiran Haji Mohd Yusuf; Presiden Persatuan Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB), Ungku Datin Hajah Fanzah binti Ungku Haji Osman dan isteri Presiden Persatuan India di Negara Brunei Darussalam, Dr Sundrapandi, Dr Prema Sundrapandi selaku tetamu kehormat majlis.
Semasa ditemui, Hajah Mehrun Nisa, 71, menjelaskan kedai berkenaan merupakan salon kecantikan pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan yang berasaskan tradisi India dengan menggunakan produk herba semula jadi untuk penjagaan rambut dan kulit termasuklah perkhidmatan membentuk alis; rawatan waxing; inai; rawatan tangan dan kuku dengan pengilat kuku jenama Maya yang terjamin kehalalannya serta rawatan herba.

“Semua produk herba semula jadi yang telah diimport untuk dijual di kedai kecantikan ini telah mendapat kelulusan dan berdaftar di bawah Unit Kosmetik, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam,” tambah beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan 13 orang cucu itu.
Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa dengan adanya kedai kecantikan itu, ia dapat menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, antaranya dengan menggunakan produk-produk penjagaan rambut dan kulit yang sihat dan semula jadi.
“Kami berharap untuk membuka kedai ini setiap hari dan juga merancang akan mengadakan perkhidmatan kecantikan ke rumah-rumah pelanggan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada para pelanggan yang tidak mempunyai kenderaan atau pun bagi mereka yang menginginkan perkhidmatan di rumah masing-masing,” ujar beliau lagi.