Saluran paip baharu di Seduku, Stumbin Bijat

KUCHING, 9 OGOS – Kira-kira 7,500 penduduk di Seduku dan Stumbin Bijat, dua kawasan penempatan pesisiran Sungai Lupar, di Bahagian Sri Aman, kira-kira 210km dari sini, kini dapat menarik nafas lega dengan kewujudan saluran paip air baharu bagi mengatasi gangguan bekalan air dihadapi mereka.

Projek pembinaan saluran paip baharu yang bernilai sekitar RM1.4 juta telah siap pada penghujung tahun 2019 dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

“Atas perancangan rapi dan teliti oleh pihak Kerajaan Sarawak, kedua-dua buah loji tersebut (Seduku dan Stumbin Bijat kini telah disambung dan menerima bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman,” kata satu kenyataan dari Kementerian Utiliti Sarawak hari ini.

Skop projek ini melibatkan pemasangan saluran paip jenis Polietilena Berkepadatan Tinggi bersaiz 400mm sepanjang 2km di jajaran alternatif menggantikan paip sedia ada di kawasan berkenaan. – Bernama