SPESIES Salvinia Molesta merupakan sejenis tumbuhan liar di kebanyakan negara di Asia. Ia adalah sejenis pokok air atau akuatik yang mudah didapati tumbuh meliar sebagai pokok yang timbul di atas permukaan air dalam tasik, parit tali air dan sawah padi. Ia sama seperti pokok kiambang dan keladi bunting.
Kehadirannya di tempat-tempat ini adalah sebagai naungan bagi ikan-ikan menyorok dan berlindung di bawahnya terutama pada hari yang mempunyai cuaca yang panas. Ia tergolong dalam keluarga tumbuhan Salviniaceae.
Perkataan Salvinia diadaptasikan dari nama seorang ahli saintis Itali di abad ke-17 iaitu Antonio Maria Salvini.
Spesies ini juga dikenali sebagai ‘Giant Salvinia’ dan ‘Aquarium Watermoss’. Ia sebenarnya telah diklasifikasikan sebagai sejenis pokok paku-pakis tetapi sesuai tumbuh dalam air. Ia juga dikatakan berasal dari negara Brazil.
Daunnya berwarna hijau muda kadangkala berwarna sedikit ungu perang atau pucat, tumbuh berpasangan melekat pada batangnya dalam gugusan. Kehadiran poket udara dalam daunnya itu membolehkannya tumbuh timbul di permukaan air.


Pembiakan dan penanaman
Pokok Salvinia ini cepat membiak jika diberikan penjagaan yang diperlukan. Seterusnya ia boleh dibiakkan menggunakan keratan batang pokoknya yang berdaun.
Air tanpa klorin adalah medium tanaman yang terbaik untuk pokok ini. Oleh itu sebaiknya gunakan air hujan.
Namun begitu anda juga boleh menggunakan air paip yang ditakung semalaman untuk menghilangkan kandungan klorinnya agar pokok Salvinia dapat hidup subur, selesa di permukaan air serta dapat menjalar akarnya yang subur ke dalamnya.
Penjagaan
Pokok yang baru akan hidup membesar, subur dan membiak jika diberikan keperluannya yang mencukupi.
Pokok ini tidak memerlukan air siraman, namun pastikan medium tanamannya iaitu air tidak kering.
Ia perlu didedahkan kepada banyak cahaya matahari kerana ia memerlukan medium air yang suam untuknya tumbuh subur dan cepat membiak.
Sebaiknya gunakan baja khas untuk pokok air atau akuatik yang boleh dibeli dari pusat tanaman atau sebagainya. Namun begitu, baja cecair atau baja garam larutan yang hanya perlu dilarutkan ke dalam air takungan iaitu medium tanamannya juga boleh digunakan.
Jangan lupa meletakkan ubat mencegah pembiakan nyamuk Aedes dalam air takungan tanaman Salvinia anda.
Pokok ini cepat membiak dan anda hanya perlu membeli beberapa pokok sahaja atau minta daripada jiran yang ada menanamnya untuk memulakan koleksinya.
Idea Pameran
Ia biasanya ditanam dalam kolam buatan dan sebagainya untuk taman bertemakan ala Bali, Tropika dan sebagainya.
Ia juga sesuai ditanam dalam bekas atau pasu yang berisi air. Malah untuk lebih kreatif, ia boleh dijadikan sebagai salah satu pokok dalam gubahan tanaman air bersama dengan pokok lain seperti kiambang dan keladi bunting untuk kelihatan lebih unik, menonjol dan menarik.