Salzburg rangkul gelaran ke-7 berturut-turut

VIENNA, 29 JUN – Red Bull Salzburg merangkul gelaran liga Austria kali ketujuh berturut-turut dan yang ke-14 keseluruhannya selepas menang 3-0 menentang TSV Hartberg semalam.

Dengan berbaki dua perlawanan untuk dimainkan, Salzburg mempunyai kelebihan 11 mata di puncak liga yang tidak dapat ditandingi pesaing terdekat mereka LASK Linz yang tewas 1-0 di tangan Wolfsberg.

Linz, yang memenangi gelaran liga tunggal mereka pada 1964-65, berada di tangga teratas sebelum kelab itu menerima hukuman penurunan enam mata dan didenda 75,000 euro (AS$83,150) bulan lalu kerana melanggar peraturan penjarakan sosial yang ketat semasa dalam latihan.

Walau bagaimanapun, hukuman itu kemudian dikurangkan menjadi empat mata selepas mereka membuat rayuan.

Kemenangan Salzburg semalam hadir menerusi jaringan Andre Ramalho, Hwang Hee-chan dan Patson Daka.

Mereka juga baru-baru ini telah memenangi Piala Austria pada bulan Mei setelah menewaskan Lustenau 5-0.

Liga Austria kembali semula pada awal bulan ini setelah digantung akibat koronavirus dengan perlawanan akhir yang akan dimainkan pada hujung minggu depan. Perlawanan kekal diadakan di stadium yang kosong kerana sekatan perhimpunan awam yang masih berterusan. – AFP

Reaksi pemain FC Red Bull Salzburg semasa meraikan kemenangan gelaran liga Austria selepas perlawanan menentang TSV Hartberg di Stadium Salzburg, Austria semalam. – AFP