Sama-sama jaga keselamatan pekerja, pesakit

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Pandemik wabak COVID-19 telah menunjukkan bagaimana pekerja kesihatan terdedah kepada pelbagai risiko dan kepentingan sistem penjagaan kesihatan dalam mengekalkan fungsi keseluruhan negara, terutama melalui ungkapan I Stay at Work for You, You Stay at Home for Us.

Pandemik ini juga memberikan tekanan yang ketara terhadap sistem kesihatan di seluruh dunia.

Sistem kesihatan hanya dapat berfungsi dengan baik, dengan adanya pekerja kesihatan yang berpengetahuan, berkemahiran dan bermotivasi untuk memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pesakit.

Sehubungan itu, Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini yang diraikan pada 17 September menekankan tema ‘Keselamatan Pekerja Kesihatan: Keutamaan untuk Keselamatan Pesakit’.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, tema dipilih untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan pekerja kesihatan dan kaitannya dengan keselamatan pesakit, serta penglibatan pihak berkepentingan dan pelaksanaan multimodal strategies untuk meningkatkan keselamatan pekerja kesihatan dan pesakit.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusan sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia menekankan kepentingan keselamatan pekerja kesihatan dan pesakit. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
Tugu Berlian di Taman Permainan Jerudong dinyalakan sebagai tanda sokongan Brunei yang turut sama meraikan kempen global Hari Keselamatan Pesakit Sedunia tahun ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Ia juga bertujuan untuk melaksanakan tindakan berterusan oleh kesemua pihak berkepentingan yang mengetahui tentang kepentingan pelaburan bagi keselamatan pekerja kesihatan sebagai salah satu keutamaan bagi memastikan keselamatan pesakit.

Di samping itu untuk memberikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap dedikasi dan kerja keras yang dilaksanakan oleh pekerja kesihatan, terutama semasa menghadapi wabak COVID-19, tambah beliau dalam perutusannya sempena sambutan berkenaan.

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan menyahut seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Speak up for health worker safety! untuk bertindak terhadap keselamatan pekerja kesihatan dengan memberikan penekanan kepada budaya keselamatan melalui penubuhan Sistem Melapor, sebagai salah satu inisiatif dalam strategi keselamatan dan kualiti pesakit secara keseluruhan.

Tujuan bagi penggunaan sistem pelaporan itu adalah untuk menyediakan kaedah dan platform yang mudah, cepat dan selamat bagi kakitangan yang ingin melaporkan sebarang insiden dan isu-isu berkaitan dengan etika dalam pekerjaan bagi penambahbaikan perkhidmatan dan rekod bagi tindakan-tindakan yang telah diambil.

Setakat ini, sistem ini telah menerima hampir 4,000 laporan dari fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh negara, kongsi Yang Berhormat Dato.

Statistik yang diperolehi daripada sistem berkenaan telah menunjukkan beberapa kekurangan dari aspek keselamatan pesakit dan kakitangan yang mana antaranya adalah disebabkan oleh kekurangan kakitangan, sumber yang tidak mencukupi dari segi peralatan perlindungan, tidak atau kurang mematuhi dasar dan prosedur operasi standard (SOP), persekitaran kerja yang tidak selamat dan lain-lain.

Malah, yang turut membimbangkan adalah statistik laporan insiden keganasan terhadap kakitangan pekerja kesihatan yang tinggi. Ini adalah satu perkara dan realiti yang sangat mendukacitakan di mana kakitangan kesihatan terpaksa mengharungi insiden keganasan terhadap mereka semasa memberikan rawatan dan penjagaan terhadap pesakit-pesakit.

Oleh itu, sudah tiba masanya pekerja kesihatan diberikan penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya daripada semua pihak.

Yang Berhormat Dato berkata, salah satu inisiatif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk memastikan keselamatan dalam penjagaan kesihatan adalah dengan melaksanakan dasar International Patient Safety Goals (IPSG) yang diterajui oleh Jawatankuasa Kebangsaan Kualiti dan Keselamatan Pesakit.

Matlamat yang digariskan di bawah IPSG itu memberikan tumpuan kepada isu-isu yang sering dihadapi oleh fasiliti-fasiliti kesihatan di seluruh dunia. Secara keseluruhan, terdapat enam matlamat yang digariskan iaitu Dasar Mengenal Pasti Pesakit, Komunikasi Berkesan, Management of High Alert Medication, Pembedahan yang Selamat, Kebersihan Tangan dan Falls Prevention.

Penggubalan dasar dan matlamat ini adalah usaha yang penting dan memerlukan kerjasama serta persetujuan dari kesemua pihak yang berkepentingan, terutama dari segi proses, latihan, pelaksanaan dan pemantauan.

“Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan tiga daripada enam matlamat dan dasar berkenaan dan selebihnya masih dalam proses penggubalan.

“Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama dalam mematuhi dasar-dasar keselamatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Malahan, mereka juga boleh membantu untuk mengingatkan dan memastikan pekerja kesihatan mengamalkan dasar-dasar tersebut kerana ia adalah untuk menjaga keselamatan semua pihak,” tekan beliau.

Pada penghujung perutusan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah mengetengahkan cabaran besar yang dihadapi oleh pekerja kesihatan di seluruh dunia termasuk di Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, industri kesihatan terus tabah menghadapi cabaran tersebut dan sentiasa menjalankan peranan untuk memastikan kualiti perkhidmatan dan keselamatan semua sentiasa terjaga.

“Marilah kita bergerak bersama ke hadapan untuk memastikan keselamatan pesakit dan pekerja kesihatan sentiasa dilindungi,” seru Yang Berhormat Dato.