Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Bagi meraih kebahagiaan di akhirat kelak, kita hendaklah memanfaatkan setiap detik usia yang dipinjamkan Allah SWT ini dengan memperbanyakkan amal soleh dan jariah.
Amal jariah itu adalah perbuatan baik yang mendatangkan pahala umpama air sungai yang terus menerus mengalir hingga ke hari kiamat.
Oleh itu, khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menanam Saham di Akhirat’ menekankan bahawa membina masjid itu merupakan antara amal jariah yang akan menjadi laba atau keuntungan bagi orang yang melakukannya meskipun orang itu sudah meninggal dunia.
Masjid juga merupakan sebaik-baik tempat di muka bumi kerana ia adalah rumah Allah, tempat yang suci, tempat berkumpul segala kebaikan, tempat bagi orang Islam beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah.
Khatib menegaskan masjid juga merupakan lambang keagungan dan tanda perpaduan umat Islam.
Memandangkan signifikan peranan masjid itu dalam perkembangan agama Islam, khatib menjelaskan, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di tempat tinggal mereka atau di tempat mereka berkampung.
Pembinaan masjid merupakan satu kewajipan bagi orang-orang Islam yang tinggal di suatu tempat sama ada di bandar, mukim dan kampung.
“Rasulullah SAW memerintahkan membina masjid-masjid di tempat perkampungan dan menyuruh membersihkan dan memberi haruman,” tambah khatib.
Khatib seterusnya menambah, pembinaan masjid itu merupakan suatu ibadah yang besar pahalanya, segala sumbangan membiayai dan membina bangunan masjid merupakan satu pelaburan amal atau saham akhirat.
Setentunya membina masjid memerlukan kewangan dan perbelanjaan yang besar, jelas khatib dan sebagai rakyat dan penduduk bernaung di bumi Darussalam yang bertuah ini, berasa amat bersyukur kerana kehidupan beragama di negara ini sangat diambil berat dan diberi perhatian.
Ini terbukti apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Dana Pembinaan Masjid Negara Darussalam.
Menurut khatib lagi, tabung itu wadah dan mekanisme yang disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan orang ramai khasnya rakyat dan penduduk negara ini untuk meraih ganjaran membina masjid walaupun dalam jumlah yang sedikit.
Ini kerana jumlah sumbangan tersebut, walaupun kecil tapi ia tetap besar di sisi Allah. Menurut para ulama, pembinaan masjid itu telah disifatkan sebagai wakaf, harta wakaf adalah termasuk dalam sedekah dan amal jariah.
Wakaf khususnya dalam membina masjid adalah amalan yang mulia dan bagi mereka yang mempunyai kelebihan dari segi harta mahu pun wang ringgit membelanjakan dan menginfakkan harta pada jalan yang diredai oleh Allah dan membina masjid merupakan perkara yang digalakkan dalam agama Islam.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya rakyat dan penduduk negara ini diseru untuk sama-sama mengambil peluang dan kesempatan keemasan ini untuk melakukan amal jariah dan menanamkan saham di akhirat.
Sumbangan ke tabung berkenaan boleh dibuat melalui pemotongan wang melalui arahan tetap kepada bank, memotong gaji bagi pegawai dan kakitangan kerajaan, sumbangan terus ke akaun tabung dana dan menyerahkan sumbangan ke Jabatan Hal Ehwal masjid.