Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Persiapan sempena sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Draussalam menaiki Takhta sedang giat dilaksanakan sebagai menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Sambutan Jubli Emas Baginda menaiki takhta ini merupakan acara gilang gemilang dimana ia akan menjadi satu ristaan dan sejarah yang sangat berharga untuk dikenang.
Ke arah mempersiapkan dan menjayakan sambutan itu yang akan menjadi satu ristaan dan sejarah, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung memainkan peranan penting dalam melibatkan penyertaan anak-anak buah kampung terutama sekali golongan belia dalam aktiviti sempena Jubli Emas ini.
Beberapa orang penghulu mukim dan ketua kampung yang ditemui rata-ratanya menyeru penglibatan generasi muda, rakyat dan penduduk di negara ini dalam memeriahkan lagi sambutan tersebut.
Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga ahli Majlis Mesyuarat Negara berkata, sambutan Jubli Emas ini adalah satu sejarah bagi Brunei, yang mana Baginda merupakan seorang pemimpin yang memimpin negara selama tempoh 50 tahun dan jarang diperolehi oleh mana-mana pemimpin.
Oleh itu, beliau menyeru generasi muda supaya dapat melibatkan diri dalam apa juga aktiviti yang diungkayahkan oleh pihak kerajaan dalam menyambut serta merayakan sambutan yang istimewa, Jubli Emas serta merayakan satu sejarah yang amat berharga.
Manakala itu, Ketua Kampung Lambak ‘B’, Mejar (B) Haji Mohd Jair bin Haji Abdul Wahab pula menyeru seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya di Daerah Brunei dan Muara mengibarkan bendera sebagai tanda kenangan sambutan Jubli Emas Baginda ke-50 tahun ini.
“Sempena dengan sambutan ini juga, orang ramai juga diingatkan untuk mengibarkan bendera bagi menandakan dan mengenang hari yang bersejarah ini”.
Penghulu Mukim Peramu, Pengarah Dato Paduka Haji Ismit bin Pengarah Mukim Haji Naim pula menyatakan bahawa akan memastikan penglibatan penduduk kampung dalam acara berkenaan.
Katanya, beliau dan ketua-ketua kampung akan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung untuk memberigakan kepada penduduk kampung untuk me nyertai apa juga aktiviti yang dilaksanakan sempena dengan sambutan.
Sementara itu, Ketua Kampung Belimbing Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim menjelaskan, inilah peluang untuk menyumbangkan bakti kepada negara dan berharap dengan penglibatan semua pihak mencerminkan ketaat setia kepada pemimpin yang kasihi.