Samantha Kerr ‘GOAT’ Matildas

SYDNEY, 19 JUN – Penyerang Superstar Samantha Kerr dianggap sebagai khazanah kebangsaan dan pemain paling hebat sepanjang zaman (GOAT) selepas menjadi pemain pertama Australia menjaringkan hatrik pada Piala Dunia.

Pemain berusia 25 tahun itu menyumbat empat gol ketika Australia membelasah Jamaica 4-1 pada Selasa untuk melangkah ke peringkat 16 terakhir.

Penjaring terbanyak sepanjang masa dalam Liga Bolasepak Wanita Kebangsaan AS itu kemarau gol dalam dua penampilan Piala Dunia pada 2011 dan 2015.

Tetapi dia membuka akaun jaringan melawan Itali dalam aksi pembukaan dan kini menjadi penjaring terbanyak bersama dengan lima yang lain di samping Alex Morgan dari AS selepas persembahan hebat menyebabkan jurulatih Jamaica Hue Menzies terkedu.

Persembahannya mendapat pujian menggunung daripada pemain bola sepak Australia, pengulas dan para peminat.

“Ia adalah prestasi individu terbaik dalam karier Matildas dan mungkin satu pertandingan paling hebat oleh mana-mana pemain Australia,” kata penulis bola sepak veteran Michael Lynch dalam akhbar The Age.

“Tidak ada superlatif yang mencukupi untuk menggambarkan pemain sayap Australia itu,” tambah penyiar awam SBS.

“Hasil keputusan sangat hebat. Tahniah Matildas dan Sam Kerr dengan 4 gol,” legenda Australia Socceroos Tim Cahill berkicau di Twitter yang menyifatkan jaringan Kerr sebagai inspirasi. – AFP

Samantha Kerr (kanan) menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Jamaica di Stadium Alpes Grenoble, timur Perancis, kelmarin. – AFP