Sambung semula rundingan?

ISLAMABAD, 2 OKT – Pengasas bersama Taliban, Mullah Baradar dijangka tiba di Pakistan hari ini ketika utusan Amerika Syarikat (AS), Zalmay Khalilzad juga mengadakan lawatan, kata para pegawai, walaupun tidak jelas jika mereka akan bertemu buat pertama kali sejak Donald Trump mempercepatkan rundingan antara Washington dan pemberontak.

Jurucakap pemberontak Zabihullah Mujadhid dalam Twitternya mengatakan lawatan ke Pakistan akan menjadi pusingan keempat jelajah termasuk Rusia, China dan Iran.

Kedutaan AS mengesahkan yang Khalilzad berada di Islamabad ‘minggu ini’ bagi konsultasi berikutan perbincangan antara AS dan Pakistan dalam Perhimpunan Agung PBB di New York minggu lalu.

Baradar merupakan ketua sayap politik Taliban dan biasanya berpangkalan di Qatar, di mana hampir setahun pemberontak mengadakan pertemuan bersemuka bersama delegasi AS yang diketuai Khalilzad.

Kedua-dua pihak berada di ambang perjanjian yang akan menyaksikan Washington mula mengundurkan tentera dari Afghanistan sebagai balasan bagi beberapa janji keselamatan dari Taliban.

Jurucakap Taliban berpangkalan di Doha, Suhail Shaheen memberitahu AFP bahawa lawatan serentak ke Pakistan itu adalah ‘kebetulan’.

Namun apabila ditanya jika ada sebarang kemungkinan pertemuan pemberontak dengan Khalilzad, jawabnya: “Kenapa tidak? Ia bergantung pada pihak Amerika.”

Taliban bersedia untuk menandatangani perjanjian yang mana Khalilzad dan Baradar bincangkan di Doha, katanya.

“Kami tidak keluar daripada persetujuan itu, kami tetap mempertahankannya. Pihak Amerika yang telah berundur dan mereka perlu mengambil inisiatif itu.”

Rundingan satu-satunya cara mencapai penyelesaian, tambahnya. – AFP