Sambut Aidilfitri bersama Pusat Ehsan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Bagi berkongsi kegembiraan dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pelajar serta warga kakitangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), hari ini.

Hadir semasa majlis tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Ahmed Ali Sirohey dan Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

Semasa majlis tersebut, Ahmed Ali Sirohey turut berkesudian menyerahkan sumbangan berupa pakaian dan alat permainan pendidikan kepada para pelajar di Pusat ​​Ehsan.

Ahmed Ali Sirohey dalam ucapannya semasa majlis tersebut berkata bahawa sudah menjadi satu tanggungjawab dalam agama Islam untuk berkongsi kebahagiaan dan keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas dan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Beliau dalam pada itu juga turut menghargai usaha Pusat Ehsan dalam menyediakan latihan, bantuan, dan penjagaan bagi individu yang mempunyai keperluan khas untuk membantu mereka mencapai potensi penuh dalam masyarakat.

Sementara itu, Pengiran Datin Hajah Noraini turut menyampaikan penghargaan ikhlas kepada pemangku pesuruhjaya tinggi Pakistan kerana berkesudian menyambut kemeriahan Hari Raya bersama warga Pusat Ehsan.

Majlis tersebut kemudiannya diteruskan dengan jamuan tengah hari yang disediakan oleh Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Negara Brunei Darussalam.

Ahmed Ali Sirohey ketika memberikan ucapan pada majlis tersebut.
Ahmed Ali Sirohey dan Pengiran Datin Hajah Noraini bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan.