Sambut Aidilfitri secara sederhana di kem latihan

KUALA LUMPUR, 13 MEI – Atlet negara Malaysia yang terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kerana menjalani kem latihan secara kuarantin, menyambut 1 Syawal secara sederhana hari ini.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atlet yang sedang membuat persiapan untuk Sukan Olimpik di Tokyo Julai ini dan Sukan SEA Hanoi pada November ini mula menjalani latihan secara kuarantin sejak minggu lepas.

Antara venue yang terlibat ialah di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil dan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi MSN, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dilihat meluangkan masa bersama-sama atlet menunaikan solat sunat Aidilfitri dan meraikan sambutan Hari Raya di Cafe Atlet di MSN, Bukit Jalil.

“Kepada semua warga sukan negara (Malaysia), marilah kita bersatu, berjuang dalam memerangi pandemik ini demi Malaysia tercinta. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita,” kata Shapawi dalam video ucapan rayanya.

Sementara itu, ratu gimnas negara Malaysia, Farah Ann Abdul Hadi turut berkongsi ucapan salam lebaran bersama gambar di media sosialnya. – Bernama