Sambut baik premis periksa kad pintar pelanggan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Terdapat beberapa buah premis perniagaan di negara ini telah mengambil inisiatif bukan saja memastikan premis mereka selamat tapi juga keselamatan kakitangan mereka.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyahut baik usaha yang dilakukan oleh premis perniagaan itu dalam usaha sama-sama mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut beliau, ia adalah sebagai satu langkah yang baik bagi syarikat yang membuat inisiatif pemeriksaan bukan saja melihat kepada kod warna BruHealth pelanggan sebelum memasuki premis berkenaan, pelanggan juga diminta untuk menunjukkan kad pintar atau lesen memandu untuk memastikan pelanggan tidak menggunakan nama yang lain.

“Langkah seumpama ini juga telah dibuat oleh pasukan polis dan semasa melakukan pemeriksaan, ada didapati individu menggunakan BruHealth pemilik lain,” tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Katanya lagi, “langkah seperti ini sangat digalakan bagi mengelakkan penipuan dan ia memerlukan lebih ramai kakitangan, tapi dengan langkah seperti ini ia secara tidak langsung akan memastikan premis berkenaan selamat.”

Beliau seterusnya menyeru kepada semua untuk sama-sama berusaha dalam mengawal penularan wabak ini, apa yang baik itu digalakkan dan diharap pihak lain akan dapat membuat langkah seumpamanya.