Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambut cabaran pengiktirafan program pengajian

    KUALA LUMPUR – Ditubuhkan pada 1 November 2007, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menjadi tempat rujukan negara-negara ASEAN untuk mempelajari dan melaksanakan akreditasi di setiap institusi pengajian tinggi dalam mencapai pengiktirafan program di peringkat antarabangsa.

    Kini menginjak tahun ke-10, MQA berdepan cabaran mewujudkan kerangka kokurikulum baharu selaras dengan Revolusi Industri 4.0 dan melatih graduan daripada pelbagai latar belakang pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja selaras dengan keperluan ekonomi semasa.

    Langkah ini selaras dengan misi MQA untuk memastikan keberterusan program di institusi-institusi pengajian tinggi dengan menyelaraskannya selari dengan kehendak industri dan memberi peluang kepada graduan untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti program yang diberi.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Dr. Hazman Shah Abdullah berkata kualiti yang dicari majikan tidak terhad kepada pengalaman akademik semata-mata tetapi turut mendapat perhatian adalah kualiti personaliti graduan itu sendiri.

    “Setiap graduan perlu sentiasa berketrampilan, mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi daripada segi berkomunikasi, kerja secara berkumpulan, kerja rentas budaya dan mempunyai daya ketahanan mental yang tinggi,” kata Hazman ketika ditemu bual Bernama.

    Menurut Hazman, MQA akan terus menyediakan latihan kepada pegawai Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang berperanan sebagai pelaksana akreditasi yang dikemukakan oleh MQA kepada graduan universiti.
    Prof. Dr. Hazman Shah Abdullah berkata kualiti yang dicari majikan tidak terhad kepada pengalaman akademik semata-mata tetapi turut mendapat perhatian adalah kualiti personaliti graduan itu sendiri.
    Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah menjadi tempat rujukan negara-negara ASEAN untuk mempelajari dan melaksanakan akreditasi di setiap institusi pengajian tinggi dalam mencapai pengiktirafan program di peringkat antarabangsa.

    Wujud saluran program pengajian tinggi

    MQA beroperasi dalam empat bidang utama iaitu pelaksanaan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), penetapan standard IPT, pelaksanaan dan pematuhan akreditasi serta pengauditan luaran dan pelaksanaan Pusat Rujukan Kelayakan.

    Satu daripada program kendalian MQA adalah APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) iaitu proses penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu sama ada di sekolah, universiti, kerja sukarela atau latihan yang berkaitan.

    Penilaian APEL terbahagi kepada dua iaitu penilaian berdasarkan kemasukan (APEL-A) yang mensasarkan golongan berpendidikan formal terdiri daripada Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana, dan penilaian kredit (APEL-C) bagi pembelajaran yang dilakukan secara individu (tidak formal).

    Daripada segi penerimaan APEL kepada umum, Hazman mengulas sambutan yang diterima amat menggalakkan berikutan sebanyak 3,900 penyertaan telah diterima sepanjang tahun 2017 berbanding lebih 1,000 pendaftaran bagi tahun lepas.

    “Kami berharap agar ada penambahan yang ketara daripada segi pendaftaran pada tahun-tahun akan datang meskipun APEL masih baru diperkenalkan kepada umum dan apabila kewujudan APEL semakin utuh di kalangan masyarakat, kami akan perkenalkan APEL Q (Qualification), iaitu kelayakan yang dianugerahkan kepada individu atas dasar pengalaman yang diperoleh,” ulas Hazman.

    Cabaran semasa MQA

    MQA adalah badan agensi yang terhasil daripada penggabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi pada 21 Disember 2005 sebelum ditubuhkan secara rasmi pada 2 November 2007.

    Antara cabaran yang bakal ditempuhi MQA adalah dari segi menjana pendapatan bagi memastikan operasi syarikat berjalan dengan lebih lancar dan langkah itu termasuk menaikkan kadar bayaran bagi program MQA pada Januari 2018.

    Menurut Hazman, MQA akan terus menyediakan latihan kepada pegawai Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang berperanan sebagai pelaksana akreditasi yang dikemukakan oleh MQA kepada graduan universiti.

    “Sehingga November tahun ini, pihak kami telah melatih seramai 1,572 pegawai PPT menerusi Program Pembangunan Kapasiti PPT yang dijalankan di Pusat Latihan Jaminan Kualiti Malaysia (MQATC).”

    Sumbangan 10 tahun MQA

    Menyingkap perjalanan MQA sepanjang 10 tahun selepas penubuhannya, MQA bergiat aktif dalam membina kerangka kelayakan dan menjamin kualiti pengajian tinggi di peringkat antarabangsa melalui penglibatan dengan pelbagai agensi serupa di ASEAN dan Asia Pasifik.

    Pada tahun 2017, MQA memeterai perjanjian rasmi dengan tiga agensi luar negara Association of Indian Universities di India, National Recognition Information Centre (NARIC) United Kingdom, dan National Agency for Academic Assessment and Accreditation, Ministry of Education Timor-Leste.

    Selain itu, MQA memperbaharui susunan perjanjian (MOA) dengan Tertiary Education Quality Standards Agency di Australia dan Higher Education Evaluation and Accreditation Council.

    Sumbangan MQA tidak terhad kepada susunan perjanjian akreditasi semata-mata tetapi juga meliputi latihan perbandingan (comparability exercise) dengan agensi di Jepun dikenali sebagai NIAD-QE di mana kedua-dua pihak mencapai persetujuan bahawa kualiti Ijazah Sarjana Muda di Jepun setara dengan Malaysia.

    Bagi memudahkan perbandingan kelayakan daripada institusi pengajian tinggi antara negara-negara ASEAN, MQA melaksanakan dua projek kerangka dan jaminan kualiti iaitu ASEAN Quality Assurance Framework (AQAF) dan ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF).

    Antara negara ASEAN yang terlibat dalam projek sulung kerangka AQAF yang dinamakan Pilot Review Exercise on AQAF Referencing ialah Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.

    Dari segi pemantauan untuk jaminan kualiti program yang dibentangkan, MQA menyediakan self-review report berdasarkan pemetaan melalui standard AQAF dengan mengadakan lawatan audit pada 23 hingga 24 November lepas yang dijalankan oleh pakar jaminan kualiti dari Eropah dan negara-negara ASEAN.

    Bagi AQRF, satu jawatankuasa nasional telah diwujudkan iaitu Malaysian National AQRF Committee (MyAQRF) pada September 2016 yang menjalankan rujukan kerangka Malaysia dengan AQRF sehingga projek AQRF dijangka selesai pada suku tahun ketiga 2018.

    Projek AQRF yang akan dijalankan selama dua tahun akan melibatkan pemetaan terhadap sistem jaminan kualiti bagi pendidikan tinggi serta teknikal dan vokasional di Malaysia.

    Perkhidmatan lebih mapan

    Menurut Hazman dalam satu ucapan pada Perhimpunan Warga MQA dan Majlis Persaraan pada 5 Disember lepas, beliau berkata MQA akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan yang diberikan dan lebih kreatif dalam menyelesaikan tugas yang diamanahkan.

    “Penghargaan harus diberikan kepada warga MQA yang sentiasa menerima baik setiap usaha yang dijalankan sepanjang tahun dan berbekalkan pengalaman yang sedia ada, MQA akan terus memperkukuh peranan penjaminan kualiti pengajian tinggi.”

    “Di samping itu, MQA akan sentiasa meneroka pendekatan baru dan mempertingkatkan kaedah sedia ada bagi memastikan kerangka kualiti pengajian tinggi Malaysia kekal relevan dan menjadi panduan bagi masyarakat sedunia,” kata Hazman. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda