Sambut Hari Harta Intelek Sedunia secara maya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Memandangkan situasi penularan wabak COVID-19 dan bagi menjaga kesejahteraan orang ramai, Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam telah menyambut Hari Harta Intelek Sedunia secara dalam talian menggunakan penstriman video aplikasi Zoom, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada sesi pagi, seramai 10 orang penceramah turut serta dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perlindungan serta penguatkuasaan hak harta intelek, khususnya, tanda-tanda perniagaan, paten dan hak cipta di Negara Brunei Darussalam.

Para penceramah tersebut terdiri daripada pegawai pemeriksa harta intelek, pendakwa raya, pencipta, usahawan, akademik dan ahli muzik. Manakala, pada sesi petang, BruIPO telah melancarkan sistem pendaftaran secara online atau e-filing bagi tanda-tanda perniagaan, paten dan reka bentuk perindustrian.

Hari Harta Intelek Sedunia disambut setiap tahun pada 26 April oleh ahli-ahli Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) termasuk Brunei Darussalam yang telah menjadi ahli sejak 1995.

Tema bagi sambutan pada tahun ini adalah Berinovasi bagi Masa Depan yang Hijau.

Pegawai dan kakitangan BruIPO ketika meraikan Hari Harta Intelek Sedunia.