Wednesday, November 13, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambut hari lebaran dengan penuh makna

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setelah pengumuman berhasil penglihatan anak bulan Syawal, kesyahduan seruan takbir mengalunkan kalimah ‘Allahu Akhbar’ mula terdengar mengagungkan kebesaran Allah SWT di masjid-masjid, kediaman, kaca televisyen mahupun di corong-corong radio.

    Perasaan antara gembira dan sedih tetap mewarnai hati-hati insan Muslim dan Muslimah sejati di atas nikmat kesyukuran yang diberikan setelah berjaya melaksanakan kewajipan sebulan berpuasa di bulan Ramadan demi satu matlamat untuk meraih keredaan Yang Maha Esa.

    Dalam pada itu, perasaan sayu turut dirasai oleh mereka yang berharap agar dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan yang akan datang. Walaupun bulan Ramadan dianggap salah satu bulan yang mampu mendidik minda, jiwa dan hati umat manusia telah berlalu pergi meninggalkan kita, namun perjuangan dalam memerangi hawa nafsu diharap tidak akan turut sama berakhir begitu sahaja. Malah ia wajar diteruskan agar semangat keislaman sentiasa bersemadi dalam diri sepanjang meniti kehidupan pada bulan-bulan mendatang.

    Meraikan hari kemenangan dengan kesederhanaan

    Hadirnya Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu kurniaan Allah SWT sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam yang benar-benar ikhlas menjalani tuntutan ibadah Rukun Islam yang keempat ini.

    Oleh itu sambutlah hari kemenangan yang dinanti-nanti ini dengan penuh kesederhanaan sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam agar tidak mengamalkan sikap berlebih-lebihan dalam berbelanja terutamanya dalam membuat persiapan membeli keperluan rumah, pakaian serta makanan dan minuman sehingga mengakibatkan berlakunya pembaziran.

    Janganlah kita lalai sehingga meninggalkan suruhan agama seperti mengerjakan sembahyang fardu lima waktu.
    Sambutlah Hari Raya dengan penuh kesederhanaan sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam agar tidak mengakibatkan berlakunya pembaziran.
    Pastikan membuat ujian pantas antigen (ART) sebelum meninggalkan rumah untuk berkunjung ke rumah ahli keluarga.

    Ini jelas terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Israa’, ayat 26 hingga 27 sebagaimana tafsirnya:

    “Dan berikanlah kepada kaum kerabat haknya (kebaikan dan hubungan silaturahim) dan begitu juga orang miskin serta orang musafir (yang terputus perbelanjaan iaitu zakat dan sedekah) dan janganlah engkau membazir (membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syarak) itu ialah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”

    Menghidupkan amalan-amalan Sunat

    Dalam kegembiraan kita meraikan lebaran bersama insan-insan tersayang, namun perlu diingat juga selaku umat Islam, kita wajar untuk menghidupkan amalan-amalan sunat di sebalik menikmati hari yang penuh makna tersebut berlandaskan syariat Ilahi dan sunnah Rasululllah SAW, di samping memenuhi tuntutan zakat fitrah yang sememangnya diwajibkan ke atas diri setiap umat Islam dan orang-orang yang di bawah tanggungannya bermula dari awal Ramadan lagi sehingga sebelum imam mendirikan sembahyang sunat Aidilfitri.

    Antara amalan-amalan sunat yang dianjurkan dalam menyerikan suasana kemeriahan hari yang penuh bermakna tersebut adalah dengan memperbanyakkan laungan takbir pada malam Hari Raya pertama; menunaikan sembahyang sunat Hari Raya; dan mengerjakan ibadah puasa sunat enam hari di bulan Syawal serta saling mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Islam dengan memanjatkan doa agar segala amal ibadah diterima oleh Allah SWT.

    Bersama hulurkan kemaafan

    Indahnya Aidilfitri semakin bersemarak apabila seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai berkumpul memohon kemaafan antara satu sama lain demi membersihkan hati-hati yang pernah terluka.

    Inilah masanya yang sesuai untuk menjernihkan ikatan kekeluargaan, persahabatan dan saudara-saudara Islam agar terus erat dan mesra dari semasa ke semasa.

    Oleh itu, dengan keberkatan dan kemurahan Allah SWT mencurahkan nikmat kemakmuran dan kedamaian di negara kita untuk sama-sama merasai lagi suasana Hari Raya dengan penuh ketenangan bersama mereka yang tercinta, maka ia adalah sesuatu perkara yang perlu kita syukuri selaku hamba Allah yang berpijak di dunia yang sementara ini.

    Sentiasa beringat-ingat, patuhi SOP

    Dalam pada itu, semangat ziarah-menziarahi juga harus diamalkan tanpa mengira pangkat dan darjat demi mewujudkan hubungan persaudaraan berpanjangan sebagaimana yang dituntut dalam Islam di mana menyambung silaturahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Maha Pencipta.

    Namun apa yang perlu ditekankan adalah kita perlu sentiasa beringat-ingat dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dalam suasana kemeriahan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri di mana had kapasiti yang dibenarkan bagi mengendali acara di rumah-rumah adalah 30 orang di dalam rumah dan 200 orang bagi acara yang diadakan di kawasan luar rumah, ini tidak termasuk tuan rumah.

    Manakala had jumlah keramaian bagi acara yang diadakan di dewan-dewan adalah dikekalkan kepada maksimum 300 orang.

    Dalam pada itu, kita juga diingatkan untuk membuat ujian pantas antigen (ART) sebelum meninggalkan rumah untuk berkunjung ke rumah-rumah ahli keluarga, memakai pelitup muka kecuali semasa makan atau minum, mengelakkan bersalam-salaman serta berkunjung secara berkumpulan di samping sentiasa berhati-hati dan hendaklah berada di rumah jika berasa kurang sihat.

    Jangan sampai lalai

    Di samping itu, beberapa perkara yang juga perlu ditekankan sebagai umat Islam adalah janganlah lalai sehingga meninggalkan suruhan agama seperti mengerjakan sembahyang fardu lima waktu.

    Selain itu, kita juga dituntut agar menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan batas-batas agama seperti bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

    Selain itu, kita juga harus menjaga kesihatan dengan mengambil kira pemakanan yang diambil sepanjang kemeriahan suasana Hari Raya yang lazimnya menyajikan pelbagai juadah yang memenuhi cita rasa terutamanya apabila berkunjung ke acara rumah-rumah terbuka.

    Oleh yang demikian, capailah keberkatan dan keredaan Allah SWT dalam kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh keimanan dan ketakwaan iaitu melakukan segala suruhan dan meninggalkan apa yang dilarang oleh agama Islam.

    Janganlah pula kita cemari sambutan tersebut dengan titik-titik dosa dan maksiat. Marilah kita sama-sama membersihkan hati dan sucikan jiwa agar indahnya Syawal dapat dirasai dengan kerahmatan dari Allah SWT.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda