Sambut Hari Raya bersama keluarga terdekat sahaja

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Sambutan Hari Raya hanya akan diadakan bersama ahli keluarga terdekat iaitu anak menziarahi ibu bapa atau adik-beradik sahaja dengan keluarga yang besar hendaklah memastikan garis panduan perkumpulan ramai dipatuhi iaitu hanya mengehadkan kepada 20 hingga 30 orang sahaja pada satu-satu masa mengikut kesesuaian keluasan rumah berkenaan.

“Dengan mengambil kira keadaan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah terkawal pada masa ini, maka pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan garis panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2020.”

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi bahawa kunjungan ke rumah ibu bapa atau adik-beradik hendaklah dijadualkan dengan teratur seperti tidak datang serentak, datang secara bergilir-gilir dan menghubungi ibu bapa atau adik-beradik terlebih dahulu sebelum mengunjungi rumah mereka.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menegaskan bahawa orang ramai adalah tidak dibenarkan mengadakan majlis rumah terbuka atau majlis-majlis serupa termasuk mengadakan ofis terbuka (open office) di tempat kerja.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Manakala itu, sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau merasa tidak sihat adalah ditegah untuk menziarahi ataupun diziarahi oleh keluarga terdekat.

Amalan bersalaman dengan berjabat tangan dan berpelukan hendaklah dielakkan, memadai dengan memberikan isyarat salam dengan meletakkan tangan di atas dada, memberikan senyuman atau menganggukkan kepala sebagai tanda hormat dan salam serta elakkan sedaya upaya daripada menyentuh atau membuat kontak fizikal dengan orang lain.

Beliau seterusnya menyarankan untuk memastikan kebersihan peribadi dan persekitaran sentiasa bersih dan terjaga terutama sekali kebersihan tangan, mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul pada setiap masa, mengelakkan daripada berkongsi peralatan makan dan minum seperti sudu, garpu, piring dan cawan serta memastikan juadah Hari Raya yang disediakan bagi ahli keluarga terdekat adalah hidangan yang sihat dan bersih.

Mereka juga dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan juadah yang manis, masin dan berlemak serta meningkatkan sistem imuniti badan dengan makanan yang berkhasiat dan air kosong sebagai pilihan utama.

“Walaupun sambutan Hari Raya pada tahun ini adalah berbeza daripada tahun-tahun yang sebelumnya, ini tidak bermakna kita tidak boleh meraikannya dengan rasa gembira bersama ahli keluarga yang tersayang dengan selamat,” ulas Yang Berhormat Dato sambil menambah “Apa yang penting ialah untuk sentiasa mengamalkan tanggungjawab sosial kita untuk menghindari daripada penularan wabak COVID-19.”