Sambut perkahwinan di atas runtuhan rumah

GAZA – Satu acara perkahwinan di Palestin diadakan di atas runtuhan sebuah rumah yang musnah ditembak oleh pesawat perang Israel kira-kira tiga bulan yang lalu.

Mohammed Zourab, berusia 27 tahun, ingin memberitahu bahawa peperangan yang berlaku tidak akan mengganggu kehidupannya dan melangsungkan perkahwinan di atas runtuh bangunan rumahnya di Khan Younis, bandar di Selatan Semenanjung Gaza.

“Saya merayakan hari perkahwinan saya di sini, untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kami tidak sabar melihat kehidupan yang bermaruah dan aman,” pengantin lelaki tersebut memberitahu Xinhua, sambil memegang tangan isterinya.

Zourab merayakan perkahwinannya bersama dengan rakan-rakan dan saudara mara dengan menari tarian tradisional yang dikenali sebagai Dabke.

Pada 12 November tahun lalu, pesawat perang Israel telah melancarkan serangan udara dan mengenai kediaman Zourab, dalam ketegangan tiga hari di antara Israel dan pergerakan Jihad Islam, selepas pihak Isreal membunuh Baha Abu al-Atta, seorang komander kanan pergerakan Jihad Islam di Gaza.

Pemuda Palestin, Mohammed Zourab, mengadakan acara perkahwinannya di atas runtuhan rumahnya yang musnah akibat serangan udara tentera Israel baru-baru ini. – Xinhua
Bandar Khan Younis, terletak di Semenanjung Gaza, mengalami kemusnahan teruk apabila di serang oleh tentera Israel pada 12 Nov 2019, tetapi tidak menghalang penduduk Palestin untuk mengadakan acara perkahwinan. – Agensi
Acara perkahwinan yang di adakan di atas runtuhan bangunan di Khan Yonis, dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat handai. – Xinhua

Serangan tersebut telah membunuh seramai 36 warga Palestin manakala berpuluh puluh kediaman turut musnah semasa ketegangan tersebut, menurut Menteri Kesihatan Gaza.

“Sebagai seorang warga Palestin, kami percaya kami mesti meneruskan kehidupan kami, walaupun kami menderita dan Israel terus menerus melakukan kekejaman ke atas kami,” kata Zourab, yang merupakan seorang petani.

Pemuda yang menguburkan segala impian di bawah runtuhan rumahnya itu berkata, bahawa semua ini tidak menghalang dia daripada meneruskan kehidupan dan tetap akan meneruskan kehidupan baharu dengan membina sebuah keluarga.

Bapanya, yang turut memiliki sebuah rumah, bertegas untuk mengadakan perkahwinan anaknya tersebut di atas runtuhan itu untuk memberi mesej kepada pihak Israel bahawa tanah tersebut adalah kepunyaan mereka.

Bapanya turut menambah bahawa dia tidak akan melupakan kejadian di mana mereka terpaksa berlari meninggalkan rumah sebelum pesawat perang Israel menyasarkannya.

Satu panggilan dari tentera Israel memberitahu mereka bahawa mereka diberikan lima minit untuk meninggalkan rumah mereka sebelum pihak Israel memulakan serangan.

“Ia merupakan saat hidup dan mati,” kata bapa Zourab yang berusia 55 tahun dengan suara yang terputus-putus, dan menambah bahawa kesemua ahli keluarganya sekarang telah menjadi gelandangan.

Menurutnya, pihak Israel menyasarkan segala-galanya di Semenanjung Gaza, termasuk batu, pokok-pokok dan manusia.

“Israel cuba untuk melupuskan kewujudan kami dengan membunuh kami atau menghancurkan rumah-rumah kami dan memaksa pemuda-pemuda kami untuk berhijrah dari semenanjung tersebut sesegera mungkin,” tambahnya.

Sebanyak 15 pusingan ketegangan berlaku di antara Israel dan kumpulan pemisah Palestin semenjak serangan besar-besaran Israel berakhir di semenanjung tersebut pada musim panas tahun 2014, mengorbankan seramai 2,000 warga Palestin.

Pihak Israel telah mengenakan sekatan ketat ke atas Semenajung Gaza, sejak kumpulan Hamas mengambil alih pada tahun 2007. – Xinhua