Sambut Ramadan dalam era kebiasaan baharu – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA, 23 APRIL – Buat pertama kali dalam sejarah, umat Islam akan menyambut Ramadan dalam era ‘new normal’  atau kebiasaan baharu susulan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Menegaskan bahawa ibadah dan tradisi Ramadan kini adalah di rumah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan new normal yang dimaksudkan itu adalah tiada solat solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat tarawih berjemaah di masjid dan surau bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan.

“Tidak ada juga majlis berbuka puasa di masjid dan surau dalam tempoh PKP, begitu juga moreh selepas selesai solat tarawih. Alternatifnya hidupkan ibadah dan tradisi Ramadan kita di rumah.

“Kita semua hendak beribadah dalam Ramadan sebagaimana sedia kala kerana ia adalah usaha memelihara agama (hifz aldin) dalam maqasid al-syariah.

Namun, memelihara nyawa (hifz al-nafs) juga adalah penting ketika ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen hari ini. – Bernama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. – Bernama