Sambut Syawal di perantauan demi harumkan nama negara

KUALA LUMPUR, 13 MEI – Demi mengharumkan nama negara Malaysia di Kejuaraan FIM CEV Repsol 2021 di Sepanyol, empat pelumba berbakat negara Malaysia sanggup berkorban masa bersama keluarga dan menyambut ketibaan Syawal di perantauan.

Adam Norrodin, Sharul Ezwan Mohd Sharil, Syarifuddin Azman dan Muhammad Hakim Danish Ramli kini berada di Sepanyol untuk menghadapi pusingan kedua kejuaraan tersebut di Litar Ricardo Tormo pada 9 Mei dan akan berada di sana sehingga pusingan ketiga yang dijadual berlangsung 13 Jun ini.

“Masih sedih bila jauh daripada keluarga, selalu ibu bapa akan masak yang sedap-sedap pada hari raya tapi sebab kita datang sini ada matlamat, kita bukan datang sini untuk main-main, tapi untuk kerja. Jadi saya kena terima apa saya pilih kerana ini kerjaya saya,” kata Adam kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun sudah tahun kelima menyambut Aidilfitri di perantauan, Adam yang beraksi dalam saingan Moto2 kejuaraan tersebut, berkata perasaannya masih sedih dan belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan sambutan Aidilfitri tanpa keluarga tersayang di sisi. – Bernama