Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 29 Jan – Hampir 200 orang pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) Cawangan Daerah Belait serta anak-anak yatim di daerah ini telah bersama-sama memeriahkan lagi suasana Majlis Rumah Terbuka di kediaman Pengarah Syarikat Lim & Ho Employment Agency di Jalan Maulana, di sini, hari ini.
Pengarah Urusan syarikat tersebut, Fenny Ho Kin Juan dan suaminya Lim Thian Ming bersama ahli keluarga turut mengalu-alukan kunjungan dalam kalangan sahabat handai, rakan-rakan perniagaan dan kaum keluarga pada majlis rumah terbuka mereka, diadakan dari jam 11 pagi hingga 10 malam.
Dalam temu bual bersama Media Permata, Lim Thian Ming memberitahu, Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) memang diadakan setiap tahun, ia antara lain bertujuan untuk merapatkan lagi tali persahabatan bersama rakan-rakan dan juga masyarakat setempat yang dikenali dan juga orang ramai yang turut berkunjung.
“Kami juga mempunyai kepercayaan bahawa menyumbang adalah satu amalan yang baik, terutama sekali kepada masyarakat yang memerlukan, sehubungan itu, setiap tahun kami akan mengadakan acara istimewa untuk anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang berkeperluan khas dari Pusat Ehsan Cawangan Belait, untuk memberikan kegembiraan kepada mereka.
“Kami sekeluarga menceriakan lagi suasana majlis rumah terbuka dengan menyampaikan sumbangan berupa paket merah (angpau) kepada mereka, kerana ia juga merupakan salah satu tradisi masyarakat Cina bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina ini,” kata Lim Thian Ming.



Sementara itu Pengarah Urusan Lim & Ho Employment Agency, Fenny Ho Kin Juan pula memberitahu, majlis rumah terbuka ini sangat bermakna setiap kali menjelangnya Sambutan TBC setiap tahun, kerana mereka sekeluarga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kawan-kawan yang jarang bertemu di hari-hari biasa sepanjang tahun dan merasa bahagia dapat bersama-sama bergembira sambil menyaksikan persembahan Tarian Singa bersama-sama dengan pelajar-pelajar Pusat Ehsan dan ibu bapa mereka.
“Mereka sudah seperti keluarga besar kami dan kami hanya akan berpeluang beramah-mesra di majlis rumah terbuka sempena TBC setiap tahun, sambil kami menikmati hidangan yang kami sediakan. Kami sekeluarga rasa cukup terhibur dengan kehadiran mereka dan juga masyarakat setempat yang kami sudah lama kenali ataupun baru kami kenali berkumpul pada majlis ini,” katanya.
Mereka sekeluarga berharap Sambutan TBC tahun ini, iaitu Tahun Ayam akan membawa lebih kebahagiaan dan kesihatan serta kemajuan dalam segenap lapangan yang mereka ceburi terutama sekali dalam bidang perniagaan mereka dan juga hubungan perpaduan dengan masyarakat yang lebih rapat dan baik.