Sambutan Diwali dicemari asbut toksik di New Delhi

NEW DELHI, 4 NOV – Ibu negara India diselimuti asbut tebal bertoksik hari ini ketika berjuta-juta orang berhimpun bersama keluarga dan rakan bagi meraikan festival Hindu, Diwali.

New Delhi merupakan salah sebuah daripada bandar paling tercemar di dunia, dengan campuran merbahaya pencemaran kilang, ekzos kereta dan asap daripada pembakaran pertanian menyelubungi langitnya di bandar raya berpopulasi 20 juta orang itu setiap musim dingin. Orang ramai di seluruh bandar itu bangun dan mendapati diri mereka diselubungi asbut kelabu keku-ningan, dengan pakar memberi amaran senario terburuk akan berlaku dalam masa beberapa hari akan datang.

Tahap PM2.5 – terkecil dan partikel paling berbahaya mencemari udara – berkemuncak pada purata 389 pada hari ini, menurut bacaan daripada stesen pemantauan metropolitan ditadbir oleh agensi kualiti udara kerajaan, SAFAR.

Angka itu adalah lebih 15 kali tinggi berbanding had selamat ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

SAFAR menasihatkan penduduk untuk mengelak aktiviti luar rumah dan memakai pelitup muka apabila berada di luar. Ia juga memberi amaran bahawa bunga api haram yang secara tradisinya digunakan dalam sambutan Diwali boleh mempertingkatkan lagi paras pencemaran pada Jumaat.

Delhi dan banyak bandar-bandar jirannya sudah pun mengharamkan atau menyekat penggunaan bunga api dalam usaha mengelak peningkatan mendadak dalam pencemaran udara. – AFP

Seorang budak menyalakan bunga api di tengah-tengah jalan semasa meraikan Diwali di New Delhi, India, 4 Nov. Diwali, festival cahaya diraikan penganut Hindu di seluruh dunia, namun di New Delhi, sambutannya telah menyaksikan pencemaran udara bertoksik akibat campuran partikel berbahaya. – AP