Sambutan Gawai Dayak Nasional 2019 di Bintulu 17-19 Mei

KUCHING, 31 Mac – Sambutan Gawai Dayak Nasional 2019 dirancang untuk diadakan di Bintulu dari 17 sehingga 19 Mei ini. Pengerusi jawatankuasa penganjurnya Dr John Brian Anthony berkata tema sambutan tahun ini ialah ‘Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepanggalka Pengingat’, yakni Bahasa Iban yang antara lain membawa maksud ‘Hayatilah Kebudayaan dan Asal Usul Anda’.

Beliau berkata sambutan tahun ini juga dijangka lebih meriah dengan penglibatan pelbagai komuniti kaum Dayak bukan sahaja dari Sarawak, tapi juga dari Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Setiap tahun sambutan Gawai Dayak peringkat negeri diadakan sejak 53 tahun lepas lagi, dan kini banyak maklum balas dari orang ramai yang diterima yang menyarankan supaya lebih banyak acara dan aktiviti Gawai dianjurkan, dengan pendedahannya dibuat dengan lebih meluas menerusi radio dan televisyen, bagi mewujudkan kefahaman yang lebih baik berhubung kepelbagaian kebudayaan di seluruh Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata acara peringkat nasional yang julung kalinya diadakan itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan jawatankuasa penganjur turut melibatkan wakil daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat tempatan bagi memberikan input teknikal kepada kementerian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dijadualkan menghadiri makan malam khas pada 17 Mei di Bintulu bagi menandakan permulaan sambutan itu nanti.

“Pada pagi berikutnya perarakan kebudayaan Dayak akan diadakan di Bintulu, yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum Dayak mempamerkan persembahan pakaian serta muzik tradisionalnya dan pada masa yang sama persembahan kebudayaan turut dipersembahkan di Rumah Tuai Henry Nuni, yakni rumah panjang Iban 35 pintu di Sg Gelam, Sebauh, kira-kira 24km dari bandar Bintulu sehingga 19 Mei,” katanya.

John Brian berkata Gobind juga dijangka menyertai para pengunjung sambutan Gawai itu di rumah panjang berkenaan untuk mengikuti upacara Gawai ‘Sandau Hari’, di samping menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan Dayak, termasuk adat lama kaum Iban ‘Nyabung Manuk’, atau sabung ayam.

“Kami turut menjemput kaum Dayak dari Sabah dan Kalimantan, Indonesia untuk bersama meraikan sambutan ini dalam usaha memahami persamaan dan kebudayaan kita dengan lebih baik,” katanya dan menambah mereka juga akan dijemput untuk mempamerkan persembahan kebudayaan masing-masing. – Bernama