Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Bersempena dengan Hari Al-Azhar Al-Syarif Sedunia, Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Al-Syarif Brunei Darussalam (WAAG Brunei Darussalam) telah mengadakan majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Arab Rimba, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi lembaga penasihat rabitah.

    Turut hadir ialah Raes WAAG Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusuf, ahli-ahli kehormat, jawatankuasa eksekutif dan ahli-ahli WAAG Brunei Darussalam serta para alumni Universiti Al-Azhar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran dan diteruskan dengan ucapan daripada raes WAAG Brunei Darussalam.

    Majlis juga disemarakkan dengan penyampaian sumbangan khairat Azhari yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama kepada penerima-penerima sumbangan yang terdiri daripada kalangan alumni Al-Azhar yang merupakan ibu tunggal dan anak-anak yatim.

    Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Haji Mohd Sujairi bin Haji Dollah dan Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.

    Majlis berkenaan bertujuan untuk menghidupkan Ramadan dengan amal ibadat dan kebajikan serta sebagai salah satu usaha dan wadah dalam menyatupadukan dan mengukuhkan jalinan kerjasama serta silaturahim dalam kalangan ahli-ahli rabitah itu sendiri.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menghadiri majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda