Sambutan Hari Bahasa Arab dilancar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Buat julung kalinya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Sambutan Hari Bahasa Arab bersempena Hari Bahasa Arab Sedunia yang diadakan di Auditorium UNISSA, hari ini.

Sambutan tersebut dianjurkan bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei telah dilancarkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Menurut Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menjelaskan, sambutan dengan tema ‘Negara Zikir di Negara Zikir’ itu memberi peluang besar ke arah merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebuah Negara Zikir iaitu dengan menguasai bacaan doa, memahami kitab Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW serta memahami buku-buku warisan Islam sekali gus menguasai Bahasa Arab.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut merasmikan Jurnal Fakulti Bahasa Arab, UNISSA secara atas talian dan berpeluang menyaksikan pameran kreativiti Bahasa Arab yang mempamerkan budaya dan ketamadunan bangsa Arab.

Antara objektif sambutan berkenaan adalah untuk mewujudkan  persekitaran Bahasa Arab yang kondusif yang dapat membuka ruang buat para pelajar untuk berinteraksi dalam Bahasa Arab di kalangan sesama sendiri dan tenaga pengajar UNISSA dan KUPU SB serta pelajar dari luar agar cenderung terhadap Bahasa Arab.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberigakan  kepentingan Bahasa Arab sebagai bahasa Al-Quran, bahasa ibadat, bahasa ilmu dan bahasa tamadun kepada masyarakat di negara ini.

Selain dapat meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap Bahasa Arab dengan menonjolkan usaha, inisiatif dan kejayaan negara, institusi dan individu yang berkaitan, ia juga dihasratkan dapat merealisasikan gagasan Negara Zikir  dengan memartabatkan penggunaan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap KHEU selaku Ra’es Jawatankuasa Eksekutif Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar termasuklah  duta-duta dan perwakilan dari negara-negara Arab di negara ini. Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama menyertai sambutan berkenaan yang diadakan selama tiga hari sehingga 14 Februari ini dengan menyertai beberapa aktiviti dan pertandingan yang diadakan pada sambutan berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika melancarkan Sambutan Bahasa Arab yang diadakan di Auditorium UNISSA, kelmarin.
Sebahagian pelajar yang hadir pada majlis pelancaran Sambutan Hari Bahasa Arab yang diadakan di UNISSA, kelmarin.
Antara aktiviti sampingan sempena Sambutan Hari Bahasa Arab di UNISSA.