Friday, December 6, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sambutan Hari Diabetes Sedunia meriah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 yang membawa tema, Diabetes dan Kesejahteraan, memberikan penekanan kepada meningkatkan kesedaran, mendidik orang ramai supaya mereka mengetahui dan mengenal pasti risiko diabetes serta pencegahannya.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 telah diadakan di Ruang Legar The Mall, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif.

    Pakar Perubatan (Endokrin), Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Seenaj Chandran dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai pentingnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

    Sementara itu, Dr Hajah Rafidah dalam ucapannya menyeru semua pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama bagi memastikan diabetes dapat diurus dengan lebih berkesan dan menyokong satu sama lain untuk meningkatkan kesejahteraan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Dr Hajah Rafidah semasa semasa menyaksikan pameran pada majlis itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Majlis juga diserikan dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pesakit diabetes iaitu pengasas Kumpulan Pengangun Senegara, Hajah Ajijah binti Haji Momin.

    Majlis itu mengetengahkan pameran dan pelbagai aktiviti yang diadakan sempena sambutan termasuk saringan pemeriksaan kesihatan iaitu pemeriksaan glukosa darah, tekanan darah dan mata, gerai petak konsultasi bersama pakar penjagaan diabetes daripada pendidik jururawat diabetes, pakar diet, podiatri dan oftalmologi serta petak permainan interaktif yang bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai pemakanan yang sihat.

    Di samping itu, terdapat juga aktiviti lain seperti sesi senaman berimpak rendah yang dibukakan kepada orang ramai sertai secara percuma dan sudut kanak-kanak yang mengadakan aktiviti mewarna.

    Bersempena sambutan itu, Simposium Diabetes: A Focus On Diabetes and Wellbeing yang dihadiri oleh doktor-doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu diadakan pada 10 November.

    Simposium pendidikan itu membincangkan mengenai cabaran fizikal dan mental pesakit-pesakit diabetes dan juga mengutamakan kesejahteraan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda