Sambutan hari jadi bertukar tragedi

BEIJING, 30 OGOS – Usaha menyelamat diakhiri di restoran dua tingkat di utara perkampungan Cina yang runtuh semasa acara sambutan ulang tahun ke-80 seorang pelanggan, mengorbankan 29 orang, kata pihak berkuasa hari ini.

Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata seramai 28 lagi cedera, tujuh daripadanya cedera parah, apabila bangunan itu tiba-tiba runtuh kelmarin.

Tidak diketahui punca keruntuhan atau nasib tetamu restoran lainnya.

Seramai 700 pekerja penyelamat menggunakan anjing pengesan, kren dan sensor berteknologi tinggi dalam usaha menyelamat itu dalam harapan mencari mangsa-mangsa yang masih hidup.

Akhbar harian rasmi, China Daily berkata bangunan itu runtuh pada pukul 9:40 pagi kelmarin. Ia berkata Suruhanjaya Keselamatan Kerja Kabinet akan menyelia siasatan bagi mencari punca kemalangan.

Ketika China menyaksikan penambahbaikan besar dalam keselamatan industri tetapi standard binaan kadangkalanya tidak diendahkan, terutamanya di kawasan luar bandar seperti daerah Xiangfen wilayah Shanxi, kira-kira 630km dari Beijing, tempat restoran itu terletak.

Rantau itu terletak di nadi arang batu negara itu, di mana ribuan pelombong terkorban dalam letupan, tanah runtuh dan banjir selama beberapa tahun. – AP

Gambar yang diambil pada 29 Ogos menunjukkan para penyelamat menjalankan usaha menyelamat di sebalik runtuhan restoran di Linfen, di wilayah Shanxi utara China. – AFP