Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Bendera besar Negara Brunei Darussalam berkibar megah di angkasa hari ini, menandakan bermulanya acara-acara keraian bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun di seluruh negara.
Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei diadakan di kawasan lapang Kompleks Yayasan di ibu negara, yang dihadiri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Upacara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Begawan Mudim Haji Latif bin Haji Saman.
Ia diikuti perarakan masuk anggota Tentera Laut Diraja Brunei bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar daripada Yang Berhormat Dato seterusnya upacara menaikkan bendera yang diiringi dengan lagu kebangsaan Brunei.
Upacara diakhiri dengan penyampaian bendera-bendera dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 kepada para pegawai daerah.
Dengan berkibarnya bendera besar negara, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah diseru untuk sama-sama mengibarkan bendera bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini di rumah-rumah, bangunan pejabat dan perniagaan serta memasang dan menyalakan lampu-lampu cucul di bangunan-bangunan kerajaan dan sektor swasta mulai hari ini sehingga 25 Februari ini.
Pengibaran bendera bagi pengiran-pengiran, orang-orang dikurniakan gelaran adalah bendera peribadi manakala orang ramai hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.
Setiap bendera yang dikibarkan hendaklah mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan baik, tidak pudar warnanya dan tidak koyak.