Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 14 Mac – Sambutan bersempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam terus disemarakkan lagi oleh penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie yang diadakan di Masjid RPN Kampung Rataie, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga selaku Penghulu Mukim Bokok.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Imam Masjid RPN Kampung Rataie dan seterusnya senaman pemanasan badan, sebelum beberapa acara peraduan bagi kanak-kanak mengambil tempat.


Acara yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan ahli-ahli takmir masjid berkenaan dan penduduk RPN Kampung Rataie itu telah diisikan dengan peraduan mewarna bagi kanak-kanak, membuat kikik dan basikal berhias.
Majlis merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Rataie yang antara lain bermatlamat untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama bagi golongan kanak-kanak.