Sambutan Hari Kebangsaan untuk imbau masa lalu

SANDAKAN, 30 OGOS – Sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan Malaysia setiap tahun adalah untuk rakyat mengimbau masa lalu dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk melangkah ke hadapan dengan melaksanakan perkara yang perlu dilakukan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi membolehkan Malaysia yang mencapai kemerdekaan ke-63 ini bertambah maju dan berjaya, komitmen tinggi rakyat serta pengorbanan jauh lebih besar diperlukan selain kesediaan berdepan pelbagai cabaran.

“Yang kita lakukan kini, bukan untuk kehidupan kita tetapi untuk anak, cucu dan cicit kita iaitu generasi akan datang.

“Manusia tidak boleh hidup selama-lamanya dan selagi masih bernafas maka pengorbanan kita mesti diteruskan dengan membantu apabila kita melihat anak-anak di kampung masih tidak terbela, ada orang miskin susah, sakit dan pelbagai lagi,” katanya sambil menambah selaku seorang pejuang yang tulen, tidak sanggup untuk membiarkan keadaan sebegitu dan sesuatu perlu dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat di Dewan Hakka Sandakan di sini, hari ini.

Sehubungan itu Muhyiddin berkata sambutan Hari Kebangsaan dapat menyemarakkan semangat juang untuk memajukan Malaysia selain mempertahankan tanah air agar tidak ada yang berani menceroboh.

Dalam pada itu mengenai keselamatan di Sabah katanya kawalan sempadan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) perlu diteruskan dan barisan hadapan sama ada di udara, laut dan daratan wajar diperkukuhkan.

“Bala tentera, polis, imigresen kita ini baik di pinggiran negara jiran, di air mahupun di daratan kita akan cari jalan untuk perkukuhkan aset mereka ini, supaya adanya aset lebih baik mereka mampu mengukuhkan atau memelihara keselamatan dan keamanan negara kita,” katanya lagi. – Bernama